Ahli Parlimen PAS disaran bangkitkan kemelut Akta Laut Wilayah 2012 di Dewan Rakyat


 KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen PAS dari Terengganu disaran membangkitkan bantahan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) di Dewan Rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat, berkata akta yang menjadi perdebatan sehingga mencetuskan ketidakpuasan kerajaan negeri sudah diluluskan di peringkat Parlimen pada tahun 2012.

Bagaimanapun, katanya, kemelut Akta Laut Wilayah 2012 mula menjadi perdebatan apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) menolak Akta 750 yang mengehadkan sempadan maritim negeri sehingga tiga batu nautika, iaitu 5.5 kilometer dari kawasan pantai.

"Terengganu mempunyai lapan ahli parlimen daripada PAS dan mereka disarankan membangkitkan isu itu pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

"Kerajaan negeri disaran mencabar akta itu di Parlimen atau ke mahkamah," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Rozi yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu menghadiri Sambutan Majlis Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Gong Kapas, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Rozi berkata demikian ketika mengulas usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang dikemukakan Dewan Undangan Negeri Terengganu pada 25 April lalu.

Rozi berkata, UMNO negeri tidak mahu mencampuri urusan kerajaan negeri, terutama berkaitan dengan Akta Laut Wilayah 2012.

"Pada pandangan kita, akta diluluskan di peringkat Parlimen sepatutnya dicabar di Dewan Rakyat," katanya.

Mengulas tuntutan royalti petroleum, Rozi berkata, mesyuarat jawatankuasa tertinggi Barisan Nasional (BN) negeri sudah membuat ketetapan akan terus berjuang bagi memastikan pelbagai peruntukan termasuk royalti minyak dikembalikan kepada rakyat Terengganu.

Bagaimanapun, katanya, UMNO negeri akan menggunakan kaedah tersendiri untuk membuat tuntutan.

Post a Comment

0 Comments