PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Muhammad Hakim Danish Ramli membuktikan dia bukan calang-calang pencabar apabila sekali lagi mencatat keputusan podium di tempat ketiga perlumbaan 2 Red Bull MotoGP Piala Rookies di Litar Le Mans, Perancis.
Anak jati Kuala Terengganu itu yang bertarung sengit dalam kelompok tiga terbaik sepanjang saingan mencatat masa 25 minit 21.768 saat (s).
Pelumba Sepanyol, Brian Uriarte muncul juara dengan catatan masa terpantas 25: 21.440s manakala rakan senegaranya, Maximo Quiles berada di kedudukan kedua dengan catatan 25: 21.488s.
Ini merupakan kejayaan kedua Hakim Danish berjaya berada atas podium selepas dua minggu lalu muncul sebagai naib juara juga dalam perlumbaan 2 di Litar Jerez, Sepanyol.
Pelumba berusia 17 tahun itu yang bertarung sengit dengan Uriarte dan Quiles saling memintas selaku pendahulu perlumbaan, namun di hujung garisan Hakim Danish akhirnya terpaksa berpuas hati dengan keputusan di tempat ketiga.
Ketika ditemu bual, Hakim Danish berkata, kesilapan kecil yang dilakukannya pada pusingan terakhir telah menyebabkan dia kehilangan kedudukan pendahulu dengan dua pesaingnya itu.
“Saya memang bertekad untuk memastikan saya berada dalam kelompok hadapan, selepas dalam perlumbaan 1, saya ketinggalan di kelompok belakang yang menyukarkan saya mengejar pesaing di depan saya.
“Sebab itu, dalam perlumbaan 2 saya memastikan saya memacu jentera dalam tiga kelompok terbaik sehingga tamat perlumbaan dan saya seronok dengan pertarungan sengit ini,” katanya.
Menurutnya, ketika perlumbaan berbaki lima pusingan untuk tamat, dia berusaha mencari kedudukan bagi memastikan keputusan podium menjadi miliknya.
Dalam perlumbaan 1 yang berlangsung, semalam (pukul 11 malam waktu Malaysia), Hakim Danish menamatkan aksinya di kedudukan keenam menerusi catatan masa 26: 23.155s, manakala, Quiles (26: 21.357s) memenangi saingan itu dan tempat kedua serta ketiga menjadi milik Rico Salmela (26: 21.617s) dan Alvaro Carpe (26: 21.772s).
Setelah melengkapkan dua pusingan, musim ini, Hakim Danish kini berada di kedudukan kelima keseluruhan dalam senarai pelumba Red Bull MotoGP Rookies Cup dengan 52 mata daripada empat perlumbaan di Jerez dan Le Mans.
0 Comments