HoSZA berpotensi jadi hospital rujukan pakar


 KUALA NERUS - Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) yang merupakan hospital pertama di daerah ini menyediakan rawatan dan persekitaran Islamik secara holistik berpotensi menjadi hospital rujukan pakar dalam sektor perubatan di negara ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri yakin hospital berkenaan mampu mencapai standard kecemerlangan sebagai hospital rujukan pakar setanding dengan hospital-hospital pengajar yang telah berdiri kukuh di negara ini.

Menurutnya, penubuhan HoSZA merupakan pencapaian penting dalam perkembangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi meluaskan peranan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan sekali gus membuka peluang-peluang baharu dalam bidang perubatan dan kesihatan.

Katanya, HoSZA juga dapat meningkatkan visibiliti dan reputasi UniSZA, terutamanya dalam menyediakan fasiliti latihan klinikal yang berkualiti tinggi bagi pelajar serta pembangunan penyelidikan dan penemuan baharu dalam teknologi perubatan yang diperlukan oleh negara.

"Dengan kepakaran tersedia, HoSZA mampu memberi pelbagai faedah kepada rakyat Terengganu terutama dalam rawatan kesihatan yang berkualiti.

"Saya sangat berharap agar semua anggota HoSZA dapat memberikan perkhidmatan kesihatan seperti sikap empati dan keinginan tinggi untuk membantu pesakit serta memberikan perkhidmatan tanpa mengira perbezaan agama, bangsa, mahupun status sosio ekonomi.

"Saya berdoa agar hospital ini dapat menjadi simbol kejayaan dan keunggulan dalam bidang perkhidmatan kesihatan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian hospital berkenaan di sini pada Ahad.

Majlis perasmian HoSZA diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Baginda berkenan mencemar duli merasmikan hospital berkenaan yang menelan kos RM332,683,427.47 serta melawat ruang fasiliti yang disediakan di situ, pada Ahad.

Keberangkatan tiba baginda bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang di-Pertuan Muda Terengganu serta Paduka Anakanda diiringi Ahmad Samsuri; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud dan Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Fadzli Adam.

HoSZA menawarkan perkhidmatan pengimejan dengan menyediakan akses kepada teknologi terkini seperti penggunaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) 3 Tesla dan Computed Tomography (CT) 256 keping yang dapat memastikan diagnosis tepat dan rawatan efisien bagi semua pesakit.

Terdahulu, Fadzli berkata, HoSZA telah diserahkan kepada UniSZA pada 7 Februari 2022 selepas sembilan tahun pembinaan sejak 2014.

Menurutnya, hospital itu telah membuka beberapa perkhidmatan termasuk Klinik Perubatan Am dan memiliki fasiliti seperti Klinik Pakar, Jabatan Kecemasan dan 200 katil untuk pesakit dalam Fasa 1.

"Fasa 2 pula sedang dirancang dengan penambahan lebih banyak fasiliti dan katil, menjadikan jumlah keseluruhan katil sebanyak 400.

"HoSZA juga mengintegrasikan prinsip mesra syariah dalam setiap aspek penjagaan para pesakit," katanya.

Post a Comment

0 Comments