Terengganu boleh cabar di mahkamah – Pakar Perlembagaan


 PUTRAJAYA: Kerajaan negeri boleh mencabar keabsahan peruntukan undang-undang Persekutuan yang menggunakan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) bagi mengehadkan sempadan ma­ritim negara di mahkamah untuk mengelak hak mereka dinafikan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perlembagaan dari ISTAC Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Malaysia adalah sebuah negara Persekutuan yang memelihara kedaulatan Negeri Melayu selaras dengan Perkara 181(1), 71(1), 1, 74 dan 77 Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.

Katanya, negeri lain boleh menerima pakai tindakan yang diambil oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan Terengganu dalam menolak akta itu.

“Ini seperti batasan tiga batu nautika wilayah perairan negeri yang disebut dalam Kanun Ta­nah Negara, Akta Perlombongan, Akta Pembangunan Petroleum dan Akta Pelantar Benua demi melin­dungi hak kedaulatan wilayah raja pemerintah serta hak di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing.

“Akta 750 ini walaupun diluluskan Parlimen, ia masih tertakluk kepada terima pakai oleh DUN masing-masing. Konflik sudah berlaku dalam Kanun Tanah Negara, Akta Perlombongan, Akta Pelantar Benua dan Akta Pembangunan Petroleum berkenaan dengan had wilayah perairan negeri apabila semua proklamasi darurat dibatalkan berkuat kuasa dari tahun 2012,” katanya semalam.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan mesti mengakui kedaulatan wilayah negeri-negeri Melayu apabila bersetuju membentuk Kerajaan Pusat yang berkuat kuasa pada 31 Ogos 1957.

“Had wilayah perairan tiga batu nautika seperti yang ditetapkan oleh pelbagai akta itu mesti dipinda buang kerana undang-undang darurat yang menjadi punca kuasa peletakan batasan had perairan negeri itu telah luput,” katanya.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Akta 750 sah dan terpakai di seluruh Malaysia termasuk di Terengganu walaupun DUN negeri itu menolaknya baru-baru ini.

Jelasnya, akta yang mengehadkan sempadan maritim negeri sehingga tiga batu nautika ia­itu 5.5 kilometer dari kawasan pantai itu hanya terbatal jika ia diisytiharkan sebaliknya oleh mahkamah.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, implikasi kepada penolakan akta itu memelihara wilayah perairan Terengganu seperti ditetapkan oleh Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

Ia sekali gus mengekalkan hak wilayah perairan negeri Terengganu sebelum Hari Merdeka termasuk haknya ke atas pelantar benua yang diiktiraf oleh Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS) kepada sebuah negeri pantai tanpa batasan tiga nautika.

Katanya, wilayah perairan setiap Negeri Melayu juga ditakrifkan dalam dokumen perunda­ngan sebelum Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang meliputi tanah, pulau dan perairan yang bersambung dengannya.

Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan menetapkan, “Tertakluk kepada Fasal (4), wilayah-wilayah bagi setiap Negeri yang disebut dalam Fasal (2) ialah wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri-negeri itu sebaik sebelum Hari Malaysia.”

“Terengganu salah sebuah Negeri Melayu berdaulat yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Apa yang dise­rahkan atau kuasa yang diwakilkan kepada Pusat hanya setakat ruang lingkup peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan termasuklah Senarai I Jadual Kesembilan.

“Tiada sebarang peruntukan undang-undang dan dokumen perundangan lain yang menunjukkan adanya persetujuan Sultan Terengganu yang membawa kepada penyerahan wilayah perairan negeri baginda, lantaran itu wilayah kedaulatan baginda adalah termasuk pelantar benua negeri berdaulat yang diiktiraf oleh UNCLOS bagi Terengganu,” katanya.

Tambah beliau yang merupakan pengasas jurisprudens watan, jika Pusat ingin membataskan had wilayah perairan negeri, maka proses yang sama ketika penyerahan Kuala Lumpur dan Putrajaya oleh Sultan Selangor serta Labuan oleh Kerajaan Sabah perlu dipatuhi.

Ini termasuk pindaan dalam Perlembagaan Negeri masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, penyerahan wilayah Negeri Terengganu termasuk perairannya tidak boleh berlaku kerana tidak dibenarkan oleh Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.

Khamis lalu, pada sidang DUN Terengganu, Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negeri itu menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana didakwa membataskan hak negeri me­nerokai sumber dan hasil me­lalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah Terengganu.

Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, DUN Terengganu meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana dilihat tidak menepati syarat se­perti mana yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan. 

Post a Comment

0 Comments