MBKT lantik arborist pantau pokok tua


 KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah melantik arborist atau ‘doktor pokok’ untuk membuat pemantauan keselamatan pokok-pokok yang tua dan terlalu matang bagi mengelak sebarang risiko terhadap pengguna jalan raya di kawasan seliaannya.

Datuk Bandar MBKT, Datuk Rosli Latif berkata, pihaknya juga sering membuat pemantauan berkala untuk pokok-pokok teduhan di tepi jalan mengikut jadual yang ditetapkan.

Menurutnya, MBKT juga sering membuat pemangkasan pokok yang berisiko terhadap keselamatan pengguna jalan raya terutama di kawasan hot spot yang dikenalpasti.

“Setiap tahun MBKT akan buat kerja-kerja memangkas dahan pokok yang berisiko ini melalui peruntukan MARRIS (Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri).

“Selain itu, MBKT juga ada membentuk sekumpulan pekerja secara dalaman yang dikhaskan membuat kerja-kerja memangkas pokok ini mengikut keperluan semasa terutamanya jika mendapat aduan daripada penduduk,” katanya di sini, semslam.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia berhubung langkah-langkah pencegahan yang diambil untuk mengelak kemalangan akibat insiden pokok tumbang seperti yang berlaku di Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Selain itu, 17 kenderaan dan landasan monorel turut terjejas akibat insiden tersebut.

Pusat gerakan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.19 petang.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, MBKT sentiasa peka dalam memastikan pokok yang ditanam untuk menghiasi bandar raya itu adalah selamat dan tidak mendatangkan risiko kepada orang ramai.

“Kita ambil iktibar atas insiden yang berlaku dan tidak berlengah sekiranya mendapat aduan, pasukan MBKT akan turun untuk membuat pemantauan.

“Seterusnya kerja memangkas akan dilakukan atau menebang pokok yang berisiko sekiranya memerlukan,” 

Post a Comment

0 Comments