KUALA TERENGGANU – Pengurusan Summer Bay Resort memohon maaf berhubung kelanjuran penganjuran Pesta Aloha yang berlangsung di Pulau Lang Tengah, Setiu pada Isnin lalu.
Pengerusi Eksekutif Summer Bay Resort, Datuk Chong Fah Ming berkata, pihaknya tidak berniat melanggar garis panduan hiburan dan pelancongan ditetapkan kerajaan negeri Terengganu.
Sehubungan itu, beliau berjanji pengurusan resort yang sudah beroperasi sejak 10 tahun tersebut akan lebih berhati-hati dalam penganjuran sebarang program pada masa hadapan.
“Ia sebenarnya program tertutup sempena sambutan ulang tahun Summer Bay Resort pada 20 Mei yang diadakan setiap tahun dan dihadiri pelanggan-pelanggan resort termasuk kanak-kanak dan warga emas.
“Saya akui sepatutnya tidak dinamakan Pesta Aloha sehingga menyebabkan salah faham, sepatutnya Malam Aloha,” katanya ketika ditemui di sini hari ini .
Terdahulu beliau bersama Pengurus Pembangunan Perniagaan Summer Bay Resort, Chew Sau Ying hadir memberi penjelasan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris.
Fah Ming berkata, program tersebut bukanlah pesta liar seperti didakwa sebaliknya cuma acara kekeluargaan yang mengandungi persembahan permainan api, tiupan seruling dan zumba.
Beliau berkata, pihaknya mengambil pengajaran kontroversi yang berlaku, namun ia tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk bersama-sama terus memajukan industri pelancongan Terengganu.
Kosmo! hari ini melaporkan melaporkan kerajaan negeri Terengganu memanggil pengurusan sebuah resort terkenal di Pulau Lang Tengah berhubung penganjuran Pesta Aloha yang tular di media sosial.
0 Comments