KUALA NERUS: Terengganu sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka dengan Kerajaan Persekutuan untuk melancarkan lagi program yang berkaitan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, komitmen Terengganu adalah sangat jelas dan penuh iltizam bahawa ‘pintu rumah’ negeri itu sentiasa terbuka dalam memastikan hubungan yang baik berlangsung dengan kerajaan Persekutuan.
“Pintu rumah terbuka ini juga adalah gambaran keyakinan kami, bahawa hubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri seharusnya sentiasa positif, bertambah baik, seperti peribahasa Melayu ‘tak ada kusut yang tak selesai, tak ada keruh yang tak jernih’.
“Di masa yang sama, terbukanya rumah besar ini bukan bermakna rumah kami tidak bertuan, apabila sahaja rumah ini dikunjungi dan tetamu berada di depan pintu, maka berikanlah salam dan insya-Allah salam akan bersambut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.
Majlis tersebut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, satu mesyuarat tertutup antara kepimpinan negara dan pimpinan pentadbiran kerajaan negeri telah berlangsung di Wisma Darul Iman dengan taklimat pembangunan disampaikan sendiri oleh Ahmad Samsuri
Beliau turut mengambil kesempatan untuk berkongsi keluhan rakyat Terengganu yang sering dilontarkan untuk perhatian dan tindakan susulan pihak kerajaan.
“Tidak lengkap ucapan saya pada hari ini, jika saya tidak kongsikan beberapa suara pandangan, keluhan dan aduan yang rakyat lontarkan untuk diambil perhatian oleh kita semua yang ada disini pada hari ini. Saya rumuskan keluhan rakyat ini dengan kata kunci impian kita semua.
“Impian kita, negara dan negeri ini akan terus mencapai kemajuan, bertunjangkan keharmonian dan perpaduan antara rakyat yang pelbagai.
“Impian kita adalah negara lebih aman dengan menjunjung politik matang yang menoktahkan pengamalan politik Machiavelli, politik fitnah, politik dendam dan diskriminasi,” katanya.
Tambahnya, rakyat juga memasang impian agar negara ini yang bermula dari Perlis hingga ke Sabah, semua penduduknya mendapat perhatian yang saksama, tanpa dibaluti warna-warna yang membezakan.
“Impian kita agar tiada yang menyisihkan kita dan mahu supaya amalan dan semangat federalisme yang termaktub kukuh dalam perlembagaan, terus bertambah akrab dan erat, bukan merosak serta menjarakkan hubungan.
“Impian kita, agar semua kita saling kuat memperkuat, laksanakan amanah dipundak masing-masing, dengan penuh integriti, agar kita semua dipertemukan semula di syurga-Nya nanti,” katanya.
0 Comments