Persekutuan bantu kerajaan negeri realisasi kenaikan gaji penjawat awam


 KUALA NERUS: Kerajaan Persekutuan sedia memberi bantuan kepada semua negeri termasuk yang dipimpin parti pembangkang bagi merealisasikan kenaikan gaji penjawat awam bermula 1 Disember.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, hal ini kerana pelaksanaan kenaikan gaji yang diumumkan sebelum ini turut membabitkan kakitangan awam di peringkat negeri dan daerah.

“Saya beritahu kepada Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, jangan runsing jika perlu menaikkan gaji pegawai negeri dan daerah, kerajaan Persekutuan akan bantu.

“Insya-Allah kita bantu supaya tiada pegawai kerajaan negeri ketinggalan dalam kenaikan gaji ini termasuk di Terengganu.

“Keputusan menaikkan gaji penjawat awam sudah muktamad dan saya yakin dapat berjalan mengikut perancangan,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, hari ini.

Dianggarkan hampir 20,000 pengunjung hadir seawal pukul 4 petang bagi menikmati hidangan tradisional seperti nasi dagang, lemang dan rendang.

Perdana Menteri pada 1 Mei lalu mengumumkan penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus bermula 1 Disember.

Pelarasan gaji itu akan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion berikutan jumlah kenaikan yang besar dan terbaik dalam perkhidmatan awam negara.

Dengan pelarasan itu kelak, pendapatan minimum penjawat awam merangkumi gaji dan elaun tetap, perlu melebihi RM2,000 sebulan. 

Post a Comment

0 Comments