Rundingan Pusat, negeri jalan terbaik tamat polemik hak perairan


 POLEMIK terhadap hak negeri pantai yang tertakluk kepada Akta Laut Wilayah (ALW) 2012 iaitu undang-undang membataskan hak negeri menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika dari garis air surut kembali menghangat.

Ia susulan DUN Terengganu menolak ALW 2012 atas alasan ia tidak menepati syarat seperti ditetapkan dalam Perkara 2(b) dan Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, kerajaan kekal dengan pendirian ALW 2012 sah dan terpakai di seluruh negara termasuk Terengganu walaupun DUN negeri itu memutuskan menolaknya.

Bagi mendepani polemik ini, wajar dilihat kembali sejarah pembentukan Tanah Melayu sebagai satu Persekutuan melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 5 Ogos 1957, ditandatangani sembilan Raja-Raja Melayu dengan wakil Ratu England.

Dalam perjanjian itu, negeri Melayu ditafsirkan sebagai Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Perak, serta semua jajahan, pulau dan tempat sebaik sahaja sebelum 31 Ogos 1957 ditadbir sebagai sebahagian daripadanya dan perairan wilayah bersambungan dengannya.

Implikasinya juga, Ratu British menyerahkan kedaulatannya ke atas dua negeri selat masing-masing Pulau Pinang dan Melaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Memorandum Raja-Raja Melayu bertarikh 12 September 1956 turut merakamkan pendirian kawalan atas tanah dalam wilayah negeri baginda masing-masing adalah sebahagian daripada manifestasi kedaulatan raja seperti diakui undang-undang antarabangsa.

Isu tiga batu nautika bermula apabila penetapan had wilayah perairan negeri dibuat melalui Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) No 7 1969 yang memperuntukkan maksud Akta Benua 1966, Akta Perlombongan Petroleum 1966, Kanun Tanah Negara dan mana-mana undang-undang bertulis berhubungan tanah berkuat kuasa di Sabah dan Sarawak.

Kewajaran untuk mengehadkan perairan negeri setakat tiga batu nautika daripada garis air surut boleh dipersoalkan kerana Parlimen dan kerajaan Persekutuan sudah mempunyai bidang kuasa mencukupi ke atas pertahanan dan keselamatan dalam negara.

Apabila Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong pada 15 Mei 1969 dan diungkaikan Dewan Rakyat pada 24 November serta Dewan Negara pada 20 Disember 2011, maka semua ordinan darurat terhenti berkuat kuasa enam bulan selepas tarikh ia diungkai.

Kesan daripada itu, berkuat kuasa 21 Jun 2012, wilayah air negeri adalah meliputi semua kawasan bersambung dengannya seluas diiktiraf undang-undang antarabangsa bagi sebuah negeri pantai.

Mengehadkan wilayah perairan negeri

ALW 2012 digubal untuk menggantikan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu), No 7 1969. Peruntukan Seksyen 3 ALW 2012 bermaksud mengehadkan wilayah perairan sesebuah negeri hanya pada tiga batu nautika dari garis air surut, secara langsung mengubah persempadanan negeri.

Walaupun Seksyen 4 ALW 2012 bertujuan meletakkan hak kedaulatan ke atas laut wilayah pada dan dijalankan Yang di-Pertuan Agong sebagai hak Malaysia, peruntukan itu menyentuh dan mengambil hak kedaulatan Raja-Raja di negeri pantai.

Di sini, ia bercanggah Perkara 181(1) dan Perkara 71(1) Perlembagaan yang menjamin hak kedaulatan serta kedudukan Raja-Raja Melayu di sisi Perlembagaan termasuk Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing.

Pindaan persempadanan wilayah perairan negeri juga tidak boleh dibuat dengan hanya penggubalan undang-undang Persekutuan. Perkara 2(b) Perlembagaan mengenakan syarat kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Majlis Raja-Raja jika perubahan sempadan negeri hendak dibuat.

Dalam hal ini, Seksyen 3 dan 4 ALW 2012 hanya boleh dikuatkuasakan selepas mematuhi syarat ditetapkan Perkara 2 Perlembagaan Dalam satu sudut lain, Seksyen 3 dan 4 ALW 2012 turut bercanggah dengan Perkara 1(3) Perlembagaan yang menetapkan wilayah negeri seperti sebelum tarikh Hari Merdeka terus terpelihara.

Memandangkan ALW 2012 mengandungi peruntukan bercanggah dengan Perkara 1(3) dan tidak mematuhi Perkara 2(b) Perlembagaan, maka ia dengan sendirinya boleh dicabar.

Proses yang betul bagi pindaan persempadanan wilayah negeri di bawah Perkara 2 Perlembagaan boleh dirujuk dalam kes wilayah Kuala Lumpur dan Putrajaya diserahkan kepada Persekutuan. Bukan sahaja dimasukkan Fasal (4) kepada Perkara 1 Perlembagaan, bahkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor turut dipinda.

Berbeza dengan kes ini kerana terdapat tegahan dalam Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu terhadap Sultan untuk menyerahkan hak wilayah kedaulatan baginda.

Bagi melindungi kepentingan Terengganu, batasan wilayah perairan negeri dikenakan melalui Akta Pelantar Benua 1966, Akta Perlombongan Petroleum 1966, Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 begitu juga Kanun Tanah Negara atau mana-mana akta memberikan implikasi sama, hendaklah dibuang.

Tindakan itu perlu untuk membolehkan pengurusan hasil petroleum dalam wilayah perairan Terengganu disemak semula seterusnya mewajarkan transaksi komersial dilaksanakan mengikut butiran Jadual Kesembilan Perlembagaan.

Justeru, dicadangkan DUN Terengganu khususnya mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Pelantar Benua Negeri bagi meneguhkan hak kedaulatan dan wilayah milik negeri seperti diwarisi sebelum pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan diiktiraf undang-undang antarabangsa bagi sebuah negeri pantai.

Dalam pada itu, sesuai dengan semangat Persekutuan, diharapkan pimpinan kerajaan Pusat dan negeri dapat duduk semeja meneliti kedudukan undang-undang sedia ada supaya prinsip kedaulatan undang-undang dapat ditegakkan dan sebarang pertikaian diuruskan secara harmoni lagi adil.

Penulis adalah Pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang

Post a Comment

0 Comments