Ahmad Samsuri simpati nasib menimpa tiga pemain bola sepak negara

KUALA TERENGGANU: Nasib malang menimpa pemain bola sepak yang menjadi mangsa perbuatan jenayah turut mendapat simpati Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut beliau, insiden berkenaan tidak sepatutnya berlaku dan tiada tempat dalam undang-undang negara ini tanpa mengira status mangsa sama ada orang dikenali sebaliknya.

Malah Ahmad Samsuri turut melahirkan kebimbangan kejadian menimpa Akhyar Rashid, Faisal Abdul Halim dan terbaharu, Safiq Rahim menjadi pencetus kepada jenayah lebih berat.

“Sebenarnya tidak kira siapa sama ada orang awam atau ahli sukan, perbuatan jenayah tidak patut berlaku dan tidak boleh diterima dalam negara yang ada peraturan dan undang-undang.

“Saya rasa sangat bersimpati kepada pemain-pemain bola sepak yang menjadi mangsa apatah lagi salah seorang daripadanya merupakan tonggak Terengganu FC (TFC).

“Apa yang berlaku agak membimbangkan, diharap ini bukan ‘trend’ baru dan kita harus hormat pandangan semua pihak,” ujarmya selepas Perhimpunan Kontinjen Sukma Sempena 100 Hari Menjelang Sukma 2024 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Arena sukan tanah air sebelum ini dikejutkan insiden samun dan pukul membabitkan Akhyar, 25, sehingga tonggak TFC itu menerima enam jahitan di bahagian kepala dan kaki.

Kejadian itu berlaku ketika Akhyar turun dari kenderaannya di perkarangan apartment yang didiami di tengah bandaraya sini selepas pulang dari sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak pada Khamis.

Dua hari kemudian, Faisal yang pernah menyarung jersi skuad Penyu sehingga 2022 pula kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital setelah disimbah asid oleh individu tidak dikenali di Petaling Jaya.

Semalam, giliran bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim, menjadi mangsa jenayah apabila dia mendakwa cermin belakang keretanya diketuk tukul besi sehingga pecah di Johor Bahru. 

 

Post a Comment

0 Comments