KUALA TERENGGANU : Seramai 30,377 ibu tunggal direkodkan di seluruh Terengganu setakat Januari tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, daerah Kuala Terengganu mencatatkan bilangan ibu tunggal paling ramai iaitu 4,409 orang.
Menurutnya, Kuala Nerus pula mempunyai 4,042 ibu tunggal diiikuti Marang (3,872), Besut (3,801), Hulu Terengganu (3,687), Kemaman (3,675), Dungun (3,488) dan Setiu (3,403).
“Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) sentiasa menjaga kebajikan golongan ini dengan menyediakan latihan kemahiran dan keusahawanan.
“Selain latihan kemahiran, YPK juga menganjurkan program bimbingan keluarga tunggal untuk pengurusan emosi agar ibu tunggal mampu memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Dr. Riduan Mohamad Nor (Pas-Jertih) yang ingin tahu jumlah terkini ibu tunggal dan program latihan untuk golongan itu di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Tambahnya, YPK juga ada menganjurkan seminar perundangan kepada ibu tunggal untuk meningkatkan pengetahuan mereka berkenaan hak dan tuntutan yang boleh dibuat di mahkamah.
“Antara bengkel latihan dan kemahiran yang disediakan YPK untuk ibu tunggal pula ialah bekam, urutan, produk sejuk beku, jahitan, pastri dan kek serta perniagaan secara digital.
“Aspek kecemerlangan anak-anak ibu tunggal juga kita ambil berat dengan memberi teknik pembelajaran terkini kepada anak mereka terutama yang bakal menduduki peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kita juga menggalakkan ibu tunggal untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat dan positif melalui aktiviti komuniti dan ini kita anjurkan melalui program lawatan bermaklumat,” katanya. – UTUSAN
0 Comments