KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menganggap penyingkiran jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dalam saringan pertama acara keirin lelaki di Sukan Olimpik, Paris, malam tadi, sebagai mempunyai hikmah.
Beliau berkata, Azizul atau dikenali denganjulukan ‘The Pocket Rocketman’ telah banyak berkorban dan semangat yang ditunjukkan demi negara sebelum ini.
“Barangkali kamu tak suka sesuatu perkara tapi ia baik untuk kamu, barangkali kamu suka sesuatu perkara tapi ia tak baik untukmu. Insya-Allah ada hikmah apa yang berlaku,” tulisnya di Facebook rasminya, pagi ini.
Ahmad Samsuri menambah, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Azizul dan jurulatih serta semua penyokong yang sumbangan kepada negara dalam sukan berbasikal.
Pada aksi yang berlangsung di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines Saint Quentin en Yvelines, Paris malam tadi, bekas juara dunia itu tersingkir selepas diberikan status Disqualified (DSQ) ketika beraksi dalam saringan tersebut.
Azizul tersingkir gara-gara tindakannya didapati berada di depan pacer pada awal saingan.
Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu yang mesra dengan panggilan Jijoe merupakan pelumba berbasikal trek negara paling berjaya dengan rekod satu pingat perak di Olimpik Rio 2016 dan gangsa di Olimpik Tokyo 2020.
Pada April 2022, Azizul menjalani pembedahan jantung terbuka susulan disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne, Australia. – UTUSAN
0 Comments