Terengganu Sokong Kedah Pertahan Dasar Sifar Judi


 ALOR SETAR, 6 Ogos - Kerajaan Kedah tidak bersendirian dalam perjuangan mempertahankan prinsip sifar judi di negeri terbabit selepas Terengganu menyatakan sokongan terhadap usaha negeri terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dasar yang menjadi polisi negeri SG4 itu akan dipertahankan bersama. 

Ujarnya, walaupun ada pihak yang menentang usaha itu sehingga berlaku semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu, pihaknya bersama Kerajaan dan rakyat Kedah.

"Ia penting untuk kita terus berpegang kepada prinsip yang telah diputuskan bersama oleh negeri SG4 melalui bidang kuasa kerajaan negeri, kita tidak akan benarkan sama sekali.

*Kita hendak memastikan rakyat kita bebas daripada amalan judi yang mempunyai mudarat besar hingga boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dan mewujudkan suasana tidak aman dalam masyarakat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa mewakili delegasi Kerajaan Terengganu mengadakan kunjungan hormat Kerajaan Negeri Kedah, di Bilik Gerakan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Rizuan Hashim dan Ketua Hakim Syarie Terengganu Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, YAA. Dato' Haji Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah, Dato' Mohd Azam Abd Samad.

Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata Terengganu mengambil langkah persediaan seandainya ada pihak yang akan melakukan perkara sama menentang penutupan pusat judi.

"Kita bersedia melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengikut bidang kuasa kita sendiri, insya-Allah apa yang penting kita mempertahankan prinsip yang diputuskan dengan polisi yang telah kita persetujui bagi menjaga kepentingan rakyat secara umum," ujarnya.

Dalam pada itu, Azam berkata kerajaan Kedah kini melalui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor sedang berusaha bagi mempertahankan dasar sifar judi.

"Ia disambut oleh pihak PBT yang menegaskan tidak akan meluluskan lesen premis judi di Kedah walaupun telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

"Di peringkat Kerajaan Negeri Kedah akan terus membuat rayuan di Mahkamah Rayuan supaya apa yang telah dilaksanakan bagi membendung aktiviti judi dapat diteruskan dan ini juga merupakan hasrat rakyat Kedah bagu memastikan 'sifar judi' dapat dipertahankan," tegasnya. - TRDI

Post a Comment

0 Comments