Terengganu Teroka Sumber Baharu Hadapi Sekatan Royalti


 KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kerajaan Negeri telah mengatur langkah bagi menghadapi sekatan royalti petroleum dengan mengukuhkan kewangan negeri melalui pengawalan perbelanjaan, mengoptimumkan perolehan hasil sumber sedia ada serta mengeksplorasi dan mengeksploitasi sumber baharu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam berhadapan dengan sekatan royalti ketika ini, semua agensi dan jabatan negeri diminta mempertimbangkan semula keperluan, kebolehlaksanaan dan keutamaan setiap program atau projek yang dirancang.

“Selain meleveraj inisiatif dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, meneroka sumber dan usaha sama dengan pihak bukan kerajaan serta merintis ‘community/bottom-up initiative’.

“Pada masa yang sama, semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Terengganu perlu mengurangkan kebergantungan pada kerajaan negeri dalam melaksanakan aktiviti perniagaan mereka.

“GLC perlu berusaha dengan lebih gigih melaksanakan aktiviti perniagaan supaya hasil keuntungan perniagaan lebih besar dan dapat membantu kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab sosial dan ekonomi kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Ahmad Shah mengemukakan soalan mengenai bagaimana Kerajaan Negeri mengatur segala urusan pentadbiran dan pembangunan yang dirancang dengan kekangan kewangan akibat daripada pembayaran royalti atau wang ihsan yang tidak dibayar kepada Kerajaan Negeri seperti yang sepatutnya.

Jelas Ahmad Samsuri lagi, usaha mengksplorasi dan mengeksploitasi sumber baharu tertumpu kepada industri unsur nadir bumi (REE) dan tenaga boleh diperbaharui (renewble energy).

"Hasil cukai dan bukan cukai pula mesti ditingkatkan sekurang-kurangnya 10 peratus setahun," tambahnya. - TRDI

Post a Comment

0 Comments