Royalti 'Dikerat', Kaedah Bayaran Menyusahkan


 KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Sudahlah bayaran tidak diterima sebagaimana perjanjian, royalti petroleum milik rakyat Terengganu yang diterima pula sangat sulit dan membebankan kerajaan serta penjawat awam.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mendedahkan Terengganu hanya menerima RM425.17 juta daripada jumlah keseluruhan royalti petroleum yang sepatutnya diterima sebanyak RM1.524 bilion pada 2024.

Katanya, bagi jumlah yang diterima pula, pembayaran dilakukan secara ‘runcit-runcit’ hingga memaksa kerajaan negeri 'menghadap' pihak persekutuan setiap bulan bagi meluluskan item diperlukan.

"Kemudiannya kelulusannya pula ditentukan oleh pihak kerajaan persekutuan (walaupun dana itu hak milik Terengganu dan kerajaan Terengganu adalah kerajaan yang sah).

"Kerajaan negeri Terengganu terpaksa berhadapan dengan prosedur yang rumit dan menyusahkan untuk mendapatkan bayaran royalti milik sendiri yang telah ditetapkan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.

Dr Khalil berkata situasi tersebut bukan sahaja menjejaskan pentadbiran negeri tetapi juga membebankan kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan.

Beliau juga menyatakan bahawa pendekatan itu menunjukkan kurangnya kepercayaan daripada pihak kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri, walaupun negeri-negeri adalah asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Ini adalah satu bentuk kegagalan dalam semangat federalisme dan amalan demokrasi di bawah Kerajaan Madani. Kami berharap kerajaan persekutuan dapat memperbaiki sistem pembayaran royalti ini agar lebih adil dan berkesan.

“Pendedahan ini menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat Terengganu dan pihak-pihak berkepentingan yang menyifatkan langkah ini sebagai satu pengabaian terhadap hak negeri dalam menerima hasil sumber asli mereka,” ujarnya. - TRDI

Post a Comment

0 Comments