GLC Terengganu Terlibat Aktif Bangunkan Industri CCUS


 KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Anak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Terengganu akan terlibat secara aktif dalam perbincangan membangunkan hab Industri Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dengan Kerajaan Persekutuan melalui PETRONAS.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia sebagai langkah permulaan untuk membangunkan CCUS dengan memastikan kepentingan ekonomi dapat dimanfaatkan oleh kerajaan negeri.

"Rakyat tidak akan 'participantas directly' di dalam isu CCUS ini, tetapi apabila hasil kerajaan negeri bertambah melalui GLC akhirnya ia akan ditumpahkan kepada rakyat juga dalam pelbagai program sosial, program ekonomi dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada rakyat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada sidang akhbarnya, selepas menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Berkongsi perkembangan semasa, beliau menyatakan bahawa Kementerian telah memaklumkan akan menggubal undang-undang berkaitan CCUS sebelum berakhir tahun ini.

"Sebab CCUS ini merupakan perkara baru dan ia memerlukan rangka polisi dan peraturan-peraturan dalam bentuk undang-undang untuk dilaksanakan kemudian baru ia boleh dilaksanakan dengan begitu kemas.

"Ia juga sebagai panduan kepada pelabur-pelabur di peringkat antarabangsa ataupun syarikat-syarikat luar negara yang ingin menggunakan khidmat CCUS supaya akhirnya kepentingan negara dan negeri dapat dijaga," ujarnya.

Sebelum ini, Kementerian Ekonomi berkata, projek itu dijangka menarik pelaburan mencecah RM20 bilion. - TRDI

Post a Comment

0 Comments