Kerajaan Terengganu Peruntuk RM100,000 Kerja Pembersihan Pulau Redang


 KUALA TERENGGANU, 2 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi kerja-kerja pembersihan di kawasan kolam semula jadi di Pasir Panjang, Pulau Redang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata peruntukan tersebut merupakan langkah proaktif dalam menangani isu kebersihan yang telah lama dihadapi di kawasan pelancongan utama tersebut.

Menurutnya, pihaknya mengesahkan bahawa tindakan segera diambil untuk memperbaiki keadaan kebersihan di kawasan berkenaan dan kerja pembersihan tersebut dijangka akan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), yang telah dilantik sebagai pegawai penguasa untuk projek berkenaan.

“Peruntukan sebanyak RM100,000 ini adalah komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kawasan tumpuan pelancong seperti Pulau Redang sentiasa dalam keadaan bersih dan terjaga. 

“Kami berharap bahawa dengan pembersihan ini, keadaan alam sekitar di Pasir Panjang akan dapat dipulihkan dan dikekalkan dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.

Razali berkata kerja-kerja pembersihan tersebut dijangka akan diselesaikan awal tahun hadapan.

Katanya, inisiatif itu diambil bagi memastikan Pulau Redang terus kekal sebagai destinasi pelancongan utama dan menarik di Negeri Terengganu.

“Kerajaan Negeri juga berharap agar masyarakat lebih peka mengenai isu pencegahan pencemaran serta pemuliharaan alam sekitar, menjadikannya sebagai sebahagian daripada budaya hidup sehari-hari," ujarnya.

Terdahulu, lawatan ke tapak telah diadakan dalam siri Program Lawatan ke Tapak Cadangan Projek Pembangunan Pelancongan dan Sesi Perbincangan Bersama Penggiat Pelancongan Terengganu pada 24 Jun 2024 (Isnin) bertempat di Pulau Redang, Kuala Nerus, Terengganu.

Dalam lawatan tersebut, pihak berkuasa telah menilai keadaan kolam semula jadi di Pasir Panjang dan mendapati bahawa isu kebersihan di kawasan tersebut perlu dipandang serius. Cadangan bagi kerja-kerja pembersihan kolam semula jadi tersebut perlu dilaksanakan segera. - TRDI

Post a Comment

0 Comments