Terengganu Rekod 5.2 Juta Pelancong, Lepasi Sasaran


 KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Terengganu berjaya menarik kunjungan lebih 5.2 juta pelancong tempatan dan antarabangsa setakat separuh pertama tahun 2024, melebihi sasaran awal 4.5 juta pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata,  kejayaan tersebut diraih hasil pelbagai inisiatif yang dilakukan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurutnya, pelbagai indikator digunakan untuk merekodkan kehadiran pengunjung dan pelancong yang datang ke negeri ini.

"Sebanyak 861,282 ribu jumlah kedatangan pelancong ke kawasan pelancongan utama bertiket dan 538,691 pengunjung tidak bertiket bagi setiap daerah sejak Januari hingga Jun 2024.

"Anggaran jumlah pelancong yang menginap di hotel, resort dan lain-lain  sehingga Jun merekodkan 318,067 ribu dan jumlah ini tidak termasuk pelancong yang menginap di homestay yang tidak berdaftar.

"Dan bagi kemasukan pelancong melalui pintu masuk utama ke negeri Terengganu iaitu Lebuhraya Pantai Timur 2, Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Lapangan Terbang Pulau Redang merekodkan kehadiran pelancong lebih 5 juta orang," katanya kepada pemberita.

Menurut Razali, pihaknya juga membuat anggaran jumlah berdasarkan pertindihan data pelancong melalui LPT2 .

"Daripada keseluruhan jumlah data pengguna LPT2 sebanyak 5,577,063 juta, kita menolak sebanyak 50 peratus dengan mengambil kira laluan kerja dalam Terengganu, laluan transit untuk ke Kelantan dan lain-lain,"ujarnya lagi.

Tambah beliau, perancangan kerajaan negeri dalam acara-acara pelancongan dan  penglibatan Jabatan Pelancongan telah menunjukkan berjaya mempromosikan Terengganu.

"Terengganu International Bike Week 2024 (TIBW), Pameran Layang-Layang Gergasi Antarabangsa Kuala Terengganu 2024, 'Sail Malaysia Passage To The East Yatch Rally 2024' dan Scooterian Mega Gathering 2.0 menjadi antara acara yang berjaya menarik ramai pelancong ke negeri ini,"katanya. - TRDI

Post a Comment

0 Comments