Badan pemikir baharu atasi ketidakpastian geopolitik, ekonomi


 PADA 5 Julai lalu saya berkesempatan hadir dalam majlis pelancaran sebuah badan pemikir baharu, The Future Research (Penyelidikan Masa Depan, TFR) di Putrajaya. Badan pemikir ini merupakan sebuah organisasi penelitian kebijakan global dan konsultasi yang mula beroperasi pada 1 Disember 2023 dengan menjalin hubungan global untuk mengeksplorasi potensi kerjasama dengan 15 buah negara.


Dengan Pengerusi, Mohamed Ajmel Hafiz Jamaludin; Pengarah, Prof. Dr. Ahmad Ashrif A. Bakar dan Prof. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid; Pengarah Urusannya, Prof. Madya Dr. Anuar Shah Bali Mahomed, TFR membentuk sebuah pasukan yang terdiri dari 38 pakar tempatan dan antarabangsa di seluruh Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah.


Pakar-pakar ini meliputi pelbagai bidang termasuk perniagaan dan ekonomi, geopolitik, hubungan antarabangsa, tadbir urus korporat, pemerkasaan wanita, perundangan, penjagaan kesihatan, kejuruteraan alam sekitar dan banyak lagi.


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam pidato utamanya, Bertahan menghadapi ketidakpastian geopolitik dan ekonomi menyatakan ketidakpastian geopolitik timbul dari pelbagai isu global dan serantau, termasuk konflik geopolitik, keselamatan alam sekitar dan sumber, keselamatan dan pengurusan risiko dan kesihatan serta pandemik.


Ketidakpastian ekonomi pula dinyatakan berpunca dari pelbagai faktor, termasuk ekonomi, perdagangan dan rantaian bekalan, pasaran serta kewangan, teknologi dan pasaran buruh serta faktor politik selain alam sekitar.


Tegas beliau, jika ingin mengurangi semua ketidakpastian geopolitik dan ekonomi, kita perlu melihat setiap negara secara individu, untuk melihat apa yang mereka miliki, keadaan ekonomi, demografi dan sebagainya kerana satu penyelesaian mungkin berfungsi di sebuah negara tetapi tidak berfungsi di negara lain.


Satu penegasan menarik daripada Ahmad Samsuri adalah tidak cukup hanya memiliki majlis ekonomi standard untuk menangani ketidakpastian ini, tetapi pemimpin negara perlu melibatkan semua latar belakang, beberapa inisiatif tidak berkaitan politik, yang mana ahli politik dari kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang duduk bersama pemegang taruh seperti peniaga, ahli ekonomi, pemain industri, masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penasihat undang-undang, pakar teknologi dan sebagainya.


Ujar beliau lagi, mereka semua perlu duduk bersama, mengetepikan perbezaan dan membincangkan tanpa henti dalam mencari penyelesaian tepat yang sesuai dengan negara mereka.


Ahmad Samsuri juga membahas mengenai contoh strategi ketahanan di Terengganu yang membuatkan kemajuan di negeri itu signifikan dalam mendiversifikasi ekonomi yang bertujuan meningkatkan ketahanannya.


Secara sejarah, Terengganu terlalu bergantung pada industri minyak dan gas, tetapi kini beralih ke tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, inisiatif rumah hijau, industri biopolimer farmaseutikal, pertanian pintar, sektor pertanian, perikanan mampan, pelancongan dan lain-lain.


Hasilnya, Laporan Ketua Audit Negara, secara purata, antara 2018 hingga 2021, menyatakan kebergantungan Terengganu kepada royalti petroleum berkurang sebanyak empat peratus kepada 68.7 peratus berbanding 72.7 peratus untuk 2014 hingga 2017.


Dua negara ASEAN, iaitu Singapura dan Vietnam, merupakan contoh utama ketahanan ekonomi dan inovasi.


Singapura berhasil mendiversifikasi ekonominya dengan memupuk pertumbuhan dalam sektor kewangan, bioteknologi dan teknologi maklumat selain membuat pelaburan besar dalam kemajuan teknologi, termasuk projek bandar pintar serta infrastruktur digital.


Melalui reformasi ekonomi yang agresif dan liberalisasi, Vietnam pula menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang signifikan. Tumpuan kepada pertumbuhan berorientasikan pembuatan dan eksport menjadikannya hab pembuatan global utama, terutamanya dalam elektronik dan tekstil. Dengan mempelbagaikan pasaran eksportnya dan memperkuat hubungan perdagangan, Vietnam berjaya meningkatkan kestabilan ekonominya.


Beberapa saranan juga dikemukakan untuk menangani ketidakpastian geopolitik dan ekonomi. Ia termasuk menubuhkan rangkaian rantaian bekalan halal berasaskan blockchain, membangunkan platform blockchain nasional untuk barangan kritikal seperti makanan dan ubat-ubatan, memanfaatkan wakaf untuk projek pelaburan mampan, menubuhkan hab inovasi awam-swasta serta melaksanakan program pendidikan berterusan dan peningkatan kemahiran.


Kesimpulan daripada ucapan beliau, pengalaman negara-negara ASEAN seperti Singapura dan Vietnam serta negara-negara Muslim seperti Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menekankan pentingnya investasi strategi dan reformasi ekonomi dalam mempertahankan ketahanan di tengah-tengah tantangan global, menunjukkan strategi proaktif dapat digunakan untuk mengelola dan mengurangi dampak gangguan geopolitik mahupun ekonomi dengan efektif.


Pandangan ke depan Ahmad Samsuri ini wajar disambut oleh TFR, bahkan oleh badan-badan pemikir lainnya di Malaysia juga.


TFR wajar berusaha untuk menjadi kekuatan panduan bagi pembuat dasar, akademik dan mereka yang mencari pemahaman yang lebih mendalam tentang landskap global.


Penawaran empat perkhidmatan teras oleh TFR kepada pasaran iaitu penyelidikan dan pembangunan, latihan dan konsultasi, penerbitan jurnal dan dialog, persidangan serta meja bulat menunjukkan komitmennya terhadap kecemerlangan penyelidikan, pandangan yang bernas, cadangan dasar yang berimpak serta kolaborasi yang menarik.


Kehadiran pelbagai kalangan masyarakat berbilang bangsa, termasuk dari badan pemikir tempatan dan antarabangsa, tokoh-tokoh industri dan pensyarah universiti membuktikan potensi besar TFR untuk berkembang maju.


Kehadiran Ahli Ekonomi Kanan dari Pejabat Ketua Ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAPCEO), Kumpulan Bank Dunia, Dr. Aakash Mohpal, yang memberikan pidato berjudul Asas Pertumbuhan Teguh: Penemuan Ekonomi Terkinini Asia Timur dan Pasifik (EAP) Bank Dunia serta Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke menjadi refleksi penerimaan masyarakat antarabangsa ke atas TFR.


Ini ditambah dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara TFR dengan Universiti Minhaj, Lahore, Pusat Pembangunan Penyelidikan dan Latihan MENA, Amman dan Institut Penyelidikan Asia Tenggara, Universiti Jinan, Guangzhou.-UTUSAN


DR. Warjio ialah Pensyarah Kanan Bahagian Politik, Universitas Sumatera Utara (USU), Medan, Indonesia merangkap felo Penyelidikan Masa Depan (TFR). - UTUSAN

Post a Comment

0 Comments