Terengganu Inc, Shizen International Kerjasama Bangunkan Projek Solar

KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Anak Syarikat Kerajaan Negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Shizen International Inc (Shizen International) untuk meneroka penjanaan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) melalui projek loji janakuasa tenaga solar di negeri Terengganu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata kerjasama tersebut dijangka membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan mengukuhkan profil negeri Terengganu sebagai peneraju ekonomi hijau.

“Pada hari ini, kita akan menyaksikan satu langkah strategik yang akan membuka lembaran baru dalam usaha meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui di negeri ini. Diharapkan kerjasama ini akan membawa manfaat besar kepada negeri Terengganu dan seluruh rakyatnya.

“Pengkormersilan sektor ini akan memberi manfaat pertukaran teknologi, perkongsian tenaga pakar dan pertukaran pengetahuan berkaitan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia selari dengan NETR Roadmaps bagi halatuju kelestarian tenaga bersih negara.

“MOU yang ditandatangani akan mengukuhkan komitmen kedua-dua belah pihak untuk bekerjasama dalam melaksanakan kerja-kerja awal kajian kebolehlaksanaan solar secara komersial dalam penilaian potensi pembangunan dan pelaburan bagi kedua-dua pihak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis menandatangani perjanjian (MOU) antara Terengganu Inc dan Shizen International Inc di Tingkat 18, Wisma Darul Iman di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Wakil kedua-dua belah pihak menandatangani perjanjian persefahaman (MoU), dari Terengganu Inc ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun, manakala dari Syarikat Shizen pula diwakili Ketua Pegawai Operasi Shizen International Inc, Ryo Ogawa.

Shizen International adalah anak syarikat Shizen Energy Inc yang terlibat aktif dalam pembangunan serta pengendalian kemudahan tenaga boleh diperbaharui di seluruh Asia, Oceania dan Amerika Latin.

Penglibatan itu merangkumi loji jana kuasa angin dan solar dan sehingga kini Shizen Energy Group berjaya membangunkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 1,321.7 megawatt di Jepun dan peringkat antarabangsa.

Tambah Bijaya Raja, MOU tersebut juga memberikan gambaran usaha Terengganu dalam memajukan sektor tenaga boleh baharu dan menggalakkan penggunaan teknologi hijau yang mampan dan mesra alam.

“Ini selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai peneraju dalam teknologi hijau,” katanya.

Sementara itu, Burhanuddin Hilmi berkata dengan termeterainya MOU tersebut, Terengganu Inc berharap agar dapat merealisasikan hasrat untuk meneroka dan mempelopori potensi 'ground-mounted solar' bagi menggalakkan peningkatan pendapatan negeri melalui ekonomi hijau.

“Perjanjian ini menjadi tanda permulaan usaha Terengganu Inc dan Shizen International Inc untuk membolehkan penyertaan Terengganu dalam program CRESS yang dijangka dapat mengurangkan risiko dan kos sistem pembekalan elektrik negara.

“Dengan matlamat hasil pelaburan tinggi menjelang tahun 2030, Terengganu Inc konsisten dalam pertumbuhan bisnes mampan di dalam pelbagai kluster utama antaranya perladangan, perkhidmatan sokongan minyak dan gas, sumber asli, hartanah, pembangunan & pembinaan hartanah, penjagaan kesihatan serta pelaburan-pelaburan bukan teras,” ujarnya.

Bagi Pengarah Eksekutif Shizen, Hiroki Koga, pihaknya berhasrat untuk membawa manfaat positif kepada alam sekitar, mengurangkan pelepasan karbon dan penggalakkan penggunaan tenaga bersih sekaligus menyumbang kepada pendapatan ekonomi tempatan.

“Kerjasama ini akan dalam usaha memperkenalkan Shizen di pasaran Malaysia selaku peneraju RE yang berpengkalan di Jepun dan berhasrat membawa manfaat positif kelestarian alam sekitar bagi menangani perubahan iklim dan pemanasan global”. Katanya lagi selepas pemeteraian perjanjian selesai hari ini.

“Perjanjian MOU ini dijangka membuka jalan kerjasama strategik yang akan memberi manfaat bagi pertumbuhan ekonomi hijau di negeri Terengganu,” katanya. - TRDI

 

Post a Comment

0 Comments