Terengganu Beralih Kepada Sumber Boleh Diperbaharui


 KUALA TERENGGANU, 8 Julai - Terengganu telah mengorak langkah untuk meneroka pendapatan baharu negeri dengan memberi tumpuan kepada industri tenaga boleh baharu berbanding sektor minyak dan gas pada tahun terdahulu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu telah mencapai beberapa kemajuan yang ketara dalam mempelbagaikan ekonomi negeri iaitu meningkatkan daya tahan.

“Dari segi sejarah, kita begitu bergantung kepada industri minyak dan gas, kini negeri telah beralih ke arah tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen, inisiatif rumah hijau, industri bio-polimer-farmaseutikal, pertanian dan perladangan pintar, perikanan mampan, pelancongan dan lain-lain. 

“Hasilnya, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara, secara purata, antara tahun 2018 hingga 2021, pergantungan kami kepada royalti petroleum sebenarnya telah berkurangan kepada 68.7 peratus berbanding 72.7 peratus bagi tahun 2014 hingga 2017. 

“Iaitu penurunan sebanyak empat peratus. Namun, Ini hanyalah permulaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Resiliently Withstanding Geopolitical & Economic Uncertainties’ dalam majlis pelancaran badan pemikir, Penyelidikan Masa Depan di Putrajaya kelmarin.

Untuk rekod, pada 10 Julai lalu ketika menghadiri majlis pelancaran loji janakuasa solar Cypark Solar Merchang di Marang, Ahmad Samsuri memaklumkan Kerajaan Terengganu menyasarkan penghasilan sumber tenaga solar sebanyak satu gigawatt (GW) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, sebagai permulaan projek solar terapung di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dengan kapasiti 400 Megawatt (MW) akan dibangunkan.

"Fasa berikutnya adalah sebanyak 600 MW, yang akan membawa kapasiti tenaga solar di Terengganu kepada 1 GW dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Sasaran ini juga merangkumi, peningkatan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu, kepada sekurang-kurangnya 31 peratus daripada jumlah keseluruhan kapasiti penjanaan tenaga negara menjelang tahun 2025," katanya.

usaha itu juga dapat mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus berbanding KDNK pada tahun yang sama.

Berdasarkan rekod, ketika ini jumlah penjanaan tenaga boleh diperbaharui semasa di Terengganu adalah sebanyak 1,012 Megawatt (MW) meliputi solar (333.213 MW), hidro (665 MW), mini hidro (8.7 MW) dan biogas (6 MW).

Sebelum ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah agar Malaysia beralih daripada bahan api fosil yang tidak mampan dan merosakkan ke arah penggunaan sumber yang boleh diperbaharui yang jauh lebih besar.

Tenaga boleh diperbaharui ditakrifkan sebagai tenaga yang dihasilkan daripada sumber semula jadi yang diisi semula pada kadar yang lebih cepat daripada yang digunakan.

Cahaya matahari dan angin adalah dua contoh sumber semula jadi yang sentiasa boleh dijana kuasa semula. - TRDI

Post a Comment

0 Comments