‘Wang royalti bukan hadiah PM, tetapi hak Terengganu…’


 KUALA TERENGGANU: “Kerajaan Pusat menyedut hasil minyak negeri melalui syarikat-syarikat minyak sebagai sumber utama negara, sementara Terengganu disuruh hidup tanpa royalti.”


Itu penegasan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, yang menyatakan bahawa kerajaan negeri berhak menerima dana daripada Kerajaan Pusat berdasarkan perjanjian yang termeterai semasa pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Ketika perjanjian pembentukan Persekutuan Malaysia, negeri-negeri telah menyerahkan banyak perkara kepada bidang kuasa pentadbiran Persekutuan. Bukan sebab negeri-negeri tak pandai mengurus hasil kekayaan bumi masing-masing. 

“Dalam perjanjian Persekutuan Malaysia, hasil khazanah dalam perut bumi dan lautan serta hasil-hasil cukai, negeri-negeri telah lepaskan kepada Kerajaan Persekutuan. Bidang kuasa negeri hanya agama, tanah dan air.

“Sebagai timbal balas atas penyerahan kuasa negeri kepada pusat, maka perjanjian menetapkan pusat kena salurkan dana, duit dan segala bentuk kewangan. 

“Bukan sebab ehsan pusat atau murah hati PM. Sama ada kerajaan negeri pandai cari duit atau tak ada duit, hak negeri adalah menerima dana daripada pusat sebagaimana perjanjian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga menyentuh tentang kekayaan Terengganu dengan hasil petroleum yang dianugerahkan oleh Allah, yang diserahkan kepada pusat berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974.

“Hasil keuntungan petroleum daripada syarikat-syarikat minyak diserah kepada pusat. 

“Selepas Terengganu serahkan kepada pusat, kita disuruh cari duit sendiri tanpa bergantung kepada duit hasil minyak?
“Baca apa kata Kul Li (Tengku Razaleigh Hamzah), orang yang tukang sign perjanjian dengan Kerajaan Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2024

Post a Comment

0 Comments