Pembayaran Royalti : "Pelik, Ajaib dan Tak Pernah Berlaku"


 KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Prosedur pembayaran royalti petroleum atau wang ehsan dari Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Terengganu menggunakan kaedah ‘itemised’ dan ‘case-by-case basis’ adalah sesuatu yang memelikkan.

Berdasarkan rekod, hasil perundingan berkali-kali dengan kerajaan Persekutuan, setakat Julai 2024 kerajaan negeri berjaya mendapatkan kelulusan royalti berjumlah RM792.32 juta berbanding anggaran hak sebenar RM1.524 bilion.

Namun, sehingga hari ini hanya RM425.17 juta telah direkodkan sebagai terimaan dalam akaun kerajaan negeri, sejumlah RM802.18 juta juga masih tidak dibayar oleh Kerajaan Persekutuan bagi 2023.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi pembayaran yang dibuat, kerajaan negeri amat tidak bersetuju kerana kaedah pembayaran tersebut tidak membantu dari aspek kecekapan dan produktiviti.

“Pendekatan ini bukan sahaja memelikkan, ajaib dan tidak pernah berlaku kerana yang berlaku adalah kontrak antara Kerajaan Negeri dengan pihak kontraktor yang menjalankan servis tetapi pembayarannya dibuat terus oleh pihak ketiga kepada kontraktor.

“Keadaan ini dengan sendirinya telah mengganggu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri, menyusahkan kakitangan Kerajaan sama ada di negeri atau Pusat, bahkan turut mengaburkan semangat federalisme dan sistem demokrasi yang menjadi tunjang pemerintahan negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed dan  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Walau bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri terpaksa menghadap prosedur menyusahkan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pihak-pihak berkenaan yang menjalankan perkhidmatan dan kontraknya, menerima bayaran yang sepatutnya. - TRDI

Post a Comment

0 Comments