Karnival Jom Heboh: Kerajaan Terengganu puas hati MPB patuhi garis panduan


 KUALA NERUS: Kerajaan negeri berpuas hati Media Prima Berhad (MPB) mematuhi garis panduan hiburan ditetapkan sepanjang penganjuran Karnival Jom Heboh (KJH) di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, yang bermula semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata berdasarkan pemerhatian dan laporan diterima pihaknya setakat ini, MPB mengikuti segala yang dibincangkan sebelum ini.

Katanya, antara garis panduan ditetapkan adalah pengasingan kawasan lelaki dan perempuan serta keluarga ketika acara pentas, semua artis dan urus setia mematuhi garis panduan pemakaian dengan artis wanita wajib memakai tudung manakala lelaki dikehendaki menutup aurat selain tiada sebarang nyanyian wanita dibenarkan.

"Setakat ini bermula semalam, saya melihat Media Prima Berhad mengikut apa yang mereka janjikan.

"Saya yakin tidak ada masalah kerana perbincangan sudah dibuat malah kedua-dua pihak sudah bersetuju dan mengikut apa yang diputuskan sebelum ini," katanya ketika melawat KJH di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal meluangkan masa hampir satu jam berbual bersama pimpinan MPB dan melawat reruai jualan.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Razali berkata penganjuran KJH buat kali kedua di Terengganu bukan hanya menarik masyarakat di negeri ini tetapi menjadi tumpuan rakyat dari negeri jiran seperti Kelantan dan Pahang.

"Alhamdullilah sebenarnya Terengganu pada tahun 2024 ini menjadi tumpuan pelbagai program dan kali ini MPB memilih KJH untuk menganjurkan karnival ini.

"Penganjuran KJH ini akan menambah lagi jumlah pelancong di Terengganu dan ia adalah antara plaform terbaik untuk kita mempromosikan Terengganusekali gus merancakkan sektor pelancongan di negeri ini," katanya.

Post a Comment

0 Comments