KUALA TERENGGANU - Pengasingan tempat duduk khas penyokong wanita di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) tidak diwajibkan sebaliknya menjadi pilihan kepada golongan itu bagi menjaga batas sekali gus mengelak pergaulan bebas.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu perlu dilihat dari sudut positif kerana bertujuan menjaga keselesaan antara pengunjung dalam setiap aksi perlawanan.
Jelas beliau, inisiatif itu sejajar dengan usaha-usaha lain yang dilaksanakan bagi menjaga kebajikan golongan wanita.
"Ini masalah kita sekarang, apabila hendak buat satu inisiatif yang baharu, semua akan melihatnya dari segi yang negatif kenapa tak cuba lihat dari segi positifnya (pelaksanaan tersebut).
Jelas beliau, setiap langkah yang diambil kerajaan akan diteliti dari segenap aspek.
"Dalam hal ini, banyak aspek positif dan itu yang perlu dilihat semua pihak," ujarnya.
Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai pandangan negatif sesetengah pihak berhubung langkah terbaharu yang diambil oleh kerajaan negeri itu.
Sebelum ini, Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim dalam kenyataan berkata, tempat duduk khas itu disediakan bagi memberi keselesaan kepada golongan wanita dan penyokong yang datang bersama keluarga. - TRDI
0 Comments