KUALA TERENGGANU - Pengasingan antara pengunjung lelaki dan wanita yang mengunjungi kolam air panas semula jadi di La Hot Spring dekat Jertih, Besut akan dilaksanakan selewat-lewatnya tahun depan.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, langkah itu bagi memastikan keselesaan bagi setiap pengunjung agar tidak bercampur antara lelaki dan wanita.
Menurutnya, situasi itu dilihat tidak sesuai memandangkan infrastruktur di kawasan kolam air panas tersebut agak sempit.
"Kerajaan negeri melalui Majlis Daerah Besut (MDB) akan mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha dan penduduk setempat untuk mendapatkan cadangan terbaik untuk melaksanakan usaha tersebut.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Husaimi Hussin (Bersatu-Hulu Besut) mengenai usaha Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pelancongan mesra syariah di kawasan pelancongan di Besut seperti La Hot Spring.
Dalam perkembangan sama, Razali berkata, pembinaan ruang bagi mengasingkan pengunjung lelaki dan wanita itu dianggarkan menelan belanja antara RM30,000 hingga RM50,000.
"Kita akan melaksanakan strategi penjenamaan yang kukuh bagi penjenamaan La Hot Spring dan sebuah lagi kawasan di Lata Tembakah sebagai destinasi pelancongan eko dan kawasan rekreasi utama di Terengganu.
"Ia termasuk penggunaan logo, slogan dan identiti visual dalam semua bahan promosi," ujarnya.
Beliau berkata, MDB menyediakan 20 unit bilik pada peringkat awal namun melihat kepada jumlah pengunjung yang tinggi terutama pada hujung minggu dan cuti am, keseluruhan bilik di La Hot Spring telah ditambah sehingga 38 unit termasuk lapan kabin kontena.
"Kadar sewa yang dikenakan pula ialah antara RM50 hingga RM150 untuk setiap unit semalam.
"Ia munasabah dan berpatutan bagi sebuah kawasan dan tempat pelancongan jika dibandingkan dengan Hot Spring di lokasi lain," katanya.
-Sinar Harian
0 Comments