Terengganu belum terima baki RM367.15 juta royalti petroleum


 KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri masih belum menerima baki RM367.15 juta  royalti petroleum atau wang ehsan daripada kerajaan Persekutuan setakat Julai tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hasil perundingan  yang dibuat dengan Kerajaan Persekutuan sebelum ini, kerajaan negeri berjaya mendapatkan kelulusan berjumlah RM792.32 juta.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, sehingga hari ini hanya RM425.17 juta telah direkodkan sebagai terimaan dalam akaun negeri.

“Kerajaan negeri masih belum menerima baki RM367.15 juta setakat Julai,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik) yang ingin tahu peluang untuk mendapatkan keseluruhan tuntutan royalti bagi tahun 2024 dan tindakan lanjut yang akan dilakukan bagi memastikan tuntutan royalti dapat diterima semaksimum mungkin.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menjelaskan, jumlah yang patut diterima oleh kerajaan negeri pada tahun 2023 ialah sebanyak RM1.524 bilion namun hanya menerima sejumlah RM802.18 juta sahaja sepanjang tahun lalu.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus berpegang teguh dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian-perjanjian yang berkaitan dalam menuntut hak rakyat dan negeri Terengganu dengan berbagai cara yang akan dibuat.

Menjawab soalan Ahmad Shah Muhamed (Pas-Bandar) yang ingin tahu bagaimana kerajaan negeri mengatur segala urusan pentadbiran, pembangunan yang dirancang berikutan kekangan kewangan pula, Ahmad Samsuri menjelaskan, pihaknya komited mengukuhkan kewangan  dengan mengawal perbelanjaan.

“Selain itu, kita mengoptimumkan perolehan hasil daripada sumber sedia ada, serta mengeksplorasi dan mengeksploitasi sumber baharu. 

“Untuk mengoptimumkan perolehan hasil daripada sumber sedia ada, kerajaan negeri mesti menambah baik aspek perundangan dan pelaksanaan kaedah terbaik untuk meningkatkan kecekapan kutipan hasil menerusi penguatkuasaan dan digitalisasi,” katanya.

Ahmad Samsuri menjelaskan, hasil cukai dan hasil bukan cukai Terengganu mesti ditingkatkan sekurang-kurangnya 10 peratus setahun seperti yang telah digariskan dalam ucapan Belanjawan 2024 lalu.

“Usaha ini penting bagi memastikan menjelang 2030 nanti hasil janaan negeri kita mewakili sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan hasil berbanding hanya 10 hingga 15 peratus sejak sekian lama dahulu,” katanya. – UTUSAN

Post a Comment

0 Comments