Pembiayaan perniagaan RM28 juta disalur kepada 4,963 usahawan


 KUALA TERENGGANU: Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu menyalurkan pembiayaan perniagaan sebanyak RM28 juta kepada 4,963 usahawan di negeri itu melalui Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (Tugas) sejak tahun 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pembiayaan tersebut membantu usahawan dalam melebarkan lagi perniagaan mereka dan menambah modal pusingan kerana pinjaman itu adalah bebas riba.

Menurutnya, dalam tempoh 1 Januari hingga 30 Julai lalu, seramai 88 usahawan telah berjaya menerima pembiayaan sebanyak RM1.1 juta.

“Walaupun kerajaan negeri mempunyai kekangan kewangan akibat sekatan royalti, kita tetap cuba untuk membantu usahawan dengan meneruskan skim pembiayaan Tugas ini.

“Kita berharap usahawan dapat memanfaatkan pembiayaan ini untuk meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan, menambah cawangan premis dan pekerja agar mereka terus maju dalam perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan surat tawaran pembiayaan kepada 33 usahawan bagi sesi kedua 2024 di Pusat Dagangan Terengganu, di sini, hari ini.

Daripada RM1.1 juta pinjaman yang disalurkan itu, sebanyak RM595,000 diagihkan kepada 40 usahawan melalui Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan, Tabung Siti Khadijah (RM464,000), Dana Usahawan & Industri Mikro (RM41,035) dan Skim Pembiayaan Atas Talian (RM20,000).

Ditanya mengenai kadar bayaran balik pula, Ariffin berkata, hampir 85 peratus usahawan berjaya menjelaskan pinjaman mereka mengikut jadual yang ditetapkan.

“Adat berniaga, ada naik dan turunnya cuma saya ingatkan agar usahawan tidak menyalahgunakan pinjaman yang telah diberikan oleh YPU untuk benda-benda yang tidak berkaitan.

“YPU juga sentiasa memantau dan membimbing usahawan ini agar mereka sentiasa berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat dalam perniagaan,” katanya. – UTUSAN

Post a Comment

0 Comments