Terengganu Teruskan Inisiatif Pinjaman Tanpa 'Riba'


 KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Kerajaan Terengganu tetap meneruskan pemberian pinjaman tanpa caj tambahan kepada usahawan dan peniaga di negeri terbabit walaupun hak royalti petroleum disekat.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif melalui Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) diteruskan bagi membantu usahawan memajukan perniagaan mereka.

Namun begitu katanya, jumlah penerima yang mendapat pinjaman tahun ini lebih kecil berbanding dengan tahun lalu.

"Sejak dilancarkan skim TUGAS pada 2019 sehingga ke pertengahan tahun ini, kita telah berjaya menyalurkan skim itu kepada 4,963 usahawan  dengan jumlah peruntukan sebanyak RM28 juta.

"Program hari ini melibatkan 33 orang usahawan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM467,586.40 melibatkan penerima pinjaman RM10 ribu hingga RM30 ribu," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Majlis Penyerahan Surat Tawaran Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) kali ke dua tahun 2024 di Dewan Serbaguna Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, semalam.

Menurut Ariffin, sepanjang 1 Januari hingga 31 Disember 2023, kerajaan negeri telah memberi pinjaman melalui tabung TUGAS sebanyak RM8,042,800.96 manakala pada  1 Januari sehingga 30 Julai 2024 sebanyak RM1,131,275.52 dibelanjakan.

"Kita ada sedikit kekangan kewangan seperi yang sedia maklum, tetapi kerajaan membuat keputusan untuk tetap melaksanakan inisiatif ini walaupun, insya-Allah tahun depan kita usahakan dapat bagi lebih banyak.

"Kita ada dua siri lagi (untuk tahun ini) dan dijangka RM0.5 juta lagi akan diberi," katanya. - TRDI

Post a Comment

0 Comments