Royalti hak rakyat Terengganu, tolong bersikap adil


KUALA TERENGGANU: Wang royalti petroleum atau Wang Ehsan adalah perjanjian antara Terengganu diadakan pada 22 Mac 1975 berdasarkan Akta Pembangunan Petroleum.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Terengganu telah berkorban memberi hasil petroleum kepada kerajaan pusat demi kestabilan ekonomi negara.


“Anda kena ingat jasa Terengganu, anda bawalah alasan apa pun. Itu fakta sejarahnya. 

“Anda ambil hak rakyat Terengganu kemudian bagi balik atas nama apa sekali pun hakikatnya ia (petroleum) adalah hak Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengingatkan pentadbir negara pada hari ini agar mengurus dan bersikap adil kepada semua negeri.

“Petroleum ini hak Allah, Dia boleh beri dan Dia boleh tarik. Hak Dia semua. 

“Kita tolong urus sahaja, Allah suruh urus dengan adil, maka uruslah dengan adil, jangan ambil hak orang dop tentu hala,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada sidang Dewan Undangan Negeri mendedahkan mengenai status semasa bayaran Royalti Petroleum kepada kerajaan negeri. 

Kerajaan negeri masih menunggu baki royalti petroleum berjumlah RM367.15 juta daripada kerajaan Persekutuan.

Hasil perundingan terdahulu, kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembayaran sebanyak RM792.32 juta kepada kerajaan negeri. Namun, setakat ini, hanya RM425.17 juta telah diterima dan dicatatkan dalam akaun negeri. – HARAKAHDAILY 30/7/2024

Post a Comment

0 Comments