Penubuhan LAUT Tambah Hasil Baru Buat Negeri

KUALA TERENGGANU, 28 Julai – Penubuhan Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) dijangka membawa impak positif kepada seluruh rakyat Terengganu dalam pengurusan sumber air dan tambahan pendapatan buat negeri.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, LAUT membolehkan Terengganu mengoptimumkan kekayaan sumber yang tidak dilaksanakan sebelum ini.

“Penubuhan LAUT ini sama juga dengan kebanyakan negeri di Malaysia yang telah memperuntukkan kuasa melalui enekmen negeri masing-masing untuk membolehkan hasil dikutip daripada penggunaan sumber air, ia bukan air laut sahaja, bahkan turut melibatkan penggunaan air sungai.

“Pelbagai kategori diperkenalkan dan kebanyakan pihak industri dan komersial kita kenakan cas-cas tertentu (sebelum ini percuma).

“Alhamdulillah dari segi pelaksanaan kita ambil masa yang sekejap, ada negeri setelah 10 tahun enakmen itu dibuat, barulah ia dapat dilaksanakan di kawasan berkenaan,” jelasnya.

Beliau  berkata demikian  dalam sidang media selepas merasmikan program Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, baru-baru ini.

Menurutnya, LAUT akan berperanan dalam merancang, mengurus dan menyelaras segala aktiviti berkaitan sumber air di negeri Terengganu.

“Alhamdulillah di negeri Terengganu, bagi tahun pertama kita bagi ‘grace period’ (tempoh ehsan), bagi pemahaman dengan mengadakan libat urus untuk menjelaskan kepada mereka kenapa timbul kutipan ini.

“Tahun kedua kita mengenakan dengan kadar-kadar yang munasabah dahulu, ada insentif dan kita boleh dapat kutipan dengan jumlahnya bertambah,” ujarnya.
 
Samsuri turut menjelaskan bahawa ada penambahan  pendapatan tetapi tidak dinyatakan jumlah.

“Saya tak nak beri jumlah berapa mungkin dalam Sidang DUN ada soalan yang berkaitan dengan jumlah kutipan hasilnya ada enakmen ini,” tambah beliau lagi. 
-TRDI


 

Post a Comment

0 Comments