KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Ahli akademik luar negara menggesa badan pemikir dan pemimpin utama Malaysia menyambut saranan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam mendepani ketidakpastian geopolitik dan ekonomi.
Pensyarah Kanan Bahagian Politik, Universitas Sumatera Utara (USU), Medan, Indonesia, Dr. Warjio berkata, Ahmad Samsuri menyatakan bertahan menghadapi ketidakpastian geopolitik dan ekonomi tidak cukup dengan hanya memiliki majlis ekonomi standard.
“Sebaliknya semua pemimpin berbeza latar belakang perlu duduk bersama pemegang taruh seperti peniaga, ahli ekonomi, pemain industri, masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penasihat undang-undang, pakar teknologi dan sebagainya.
“Jika ingin mengurangi semua ketidakpastian geopolitik dan ekonomi, kita perlu melihat setiap negara secara individu, untuk melihat mereka miliki, keadaan ekonomi, demografi dan sebagainya kerana satu penyelesaian mungkin berfungsi di sebuah negara tetapi tidak berfungsi di negara lain,” katanya memetik idea Ahmad Samsuri.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran badan pemikir baharu, The Future Research (Penyelidikan Masa Depan, TFR) di Putrajaya baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Ekonomi Kanan dari Pejabat Ketua Ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAPCEO), Kumpulan Bank Dunia, Dr. Aakash Mohpal, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke.
Terdahulu ujar Dr. Warjio, Pakar Aeroangkasa itu menyatakan ketidakpastian geopolitik timbul daripada pelbagai isu global dan serantau, termasuk konflik geopolitik, keselamatan alam sekitar dan sumber, keselamatan dan pengurusan risiko dan kesihatan serta pandemik.
“Ketidakpastian ekonomi pula dinyatakan berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk ekonomi, perdagangan dan rantaian bekalan, pasaran serta kewangan, teknologi dan pasaran buruh serta faktor politik selain alam sekitar,” jelasnya.
Tambah Dr Warjio, beberapa saranan lain untuk menangani ketidakpastian geopolitik dan ekonomi turut dikemukakan Ahmad Samsuri, ia termasuk menubuhkan rangkaian rantaian bekalan halal berasaskan ‘blockchain’ dan membangunkan platform ‘blockchain’ nasional untuk barangan kritikal seperti makanan dan ubat-ubatan.
Kata beliau, Ahmad Samsuri turut mencadangkan agar negara memanfaatkan wakaf untuk projek pelaburan mampan, menubuhkan hab inovasi awam-swasta serta melaksanakan program pendidikan berterusan dan peningkatan kemahiran.
“Dua negara ASEAN, iaitu Singapura dan Vietnam, merupakan contoh utama ketahanan ekonomi dan inovasi.
“Kesimpulan ucapan beliau, pengalaman negara ASEAN seperti Singapura dan Vietnam serta negara Muslim seperti Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menekankan pentingnya investasi strategi dan reformasi ekonomi dalam mempertahankan ketahanan di tengah-tengah tantangan global, menunjukkan strategi proaktif dapat digunakan untuk mengelola dan mengurangi dampak gangguan geopolitik mahupun ekonomi dengan efektif.
“Ahmad Samsuri juga membahas mengenai contoh strategi ketahanan di Terengganu yang membuatkan kemajuan di negeri itu signifikan dalam mendiversifikasi ekonomi yang bertujuan meningkatkan ketahanannya.
“Secara sejarah, Terengganu terlalu bergantung pada industri minyak dan gas, tetapi kini beralih kepada tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, inisiatif rumah hijau, industri biopolimer farmaseutikal, pertanian pintar, sektor pertanian, perikanan mampan, pelancongan dan lain-lain.
“Hasilnya, Laporan Ketua Audit Negara merumuskan antara 2018 hingga 2021, menyatakan kebergantungan Terengganu kepada royalti petroleum berkurang sebanyak empat peratus kepada 68.7 peratus berbanding 72.7 peratus untuk 2014 hingga 2017,” katanya. - TRDI
0 Comments