KUALA TERENGGANU: Seramai 324 orang imam ketiga masjid mukim negeri Terengganu menerima bayaran one-off sebanyak RM600 setiap seorang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peruntukan keseluruhan untuk tahun 2023 berjumlah RM194,400 itu diberikan kepada iman ketiga yang dilantik sendiri di bawah negeri.
“Jadi, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk membayar kepada imam ketiga. Pembayaran hari ini adalah untuk tahun 2023, agak terlewat sebenarnya tapi kerana kita bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Bayaran Bantuan Khas ‘One-Off‘ tahun 2023 kepada imam ketiga Masjid Mukim Negeri Terengganu, di Perkarangan U2, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Sementara untuk tahun 2024, ujar Ahmad Samsuri, kerajaan negeri akan mengusahakan agar proses pembayaran akan dilaksanakan sebelum berakhir tahun ini, bergantung kedudukan kewangan.
“Doalah supaya kedudukan kewangan kita mengukuh dan berada dalam keadaan stabil, bertambah baik dari segi ‘cash flow’ (aliran tunai)nya. Insya-Allah.
“Saya percaya, para imam akan menjalankan tanggungjawab dengan penuh komited, istiqamah serta berdisiplin sebagai golongan paling hampir dengan anggota masyarakat yang ada di negeri Terengganu,” katanya.
0 Comments