Akta 750: Kerajaan peralatkan undang-undang halang hak Terengganu


 KUALA TERENGGANU: Jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750] ke atas Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144] disifatkan sebagai ‘tidak bertanggungjawab’.


Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Terengganu, Eikhwan Ali berkata, jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen itu juga menunjukkan tindakan Kerajaan  Persekutuan memperalatkan undang-undang bagi menghalang hak negeri, kerajaan dan rakyat Terengganu. 

“Hakikatnya, tujuan penggubalan Akta 144 adalah untuk perkongsian pembayaran tunai antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas), kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri-negeri berkenaan keuntungan yang dibuat oleh Petronas melalui penjualan petroleum.

“Banyak sekali dokumen antara Petronas dan Kerajaan Negeri Terengganu terutamanya sekitar tahun 1978 yang mengesahkan bahawa petroleum adalah didapati dan diperoleh di negeri itu. 

“Sementelah, Akta 144 tidak memberikan sebarang tafsiran bagi istilah ‘pantai’ (onshore) dan ‘luar pantai’ (offshore) dan kedua-dua istilah ini juga tidak pernah diikat dengan sebarang tafsiran dalam undang-undang yang lain,” katanya dalam satu kenyataaan.

Mengulas lanjut beliau yang juga Ketua Jabatan Penyelidikan & Pembangunan Dasar TSIS berkata, disebabkan itu dari tahun 1978 sehingga 2000, Petronas telah membayar kepada kerajaan Negeri Terengganu mengikut perjanjian yang ditandatangani tanpa sebarang gangguan.

“Akta 750 yang digubal bagi menggantikan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) pula yang memperuntukkan had laut wilayah Malaysia sepatutnya menjadi instrumen untuk menjamin kedaulatan Negara; bukannya menjadi alat bagi mencabuli sempadan wilayah negeri untuk merampas hasilnya. 

“Kerana itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dengan tegas telah menolak pemakaian Akta 750 ini. 

“Lebih awal menolaknya ialah Kelantan dan Sabah.

“Mentafsirkan subseksyen 3(3) Akta 750 dengan menetapkan had laut wilayah Negeri pada takat tiga batu nautika dari garis air surut,  jelas telah mengecilkan sempadan negeri dan sepatutnya tidak boleh berkuatkuasa melainkan dengan persetujuan negeri dan perkenan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Terdahulu, Azalina menjawab soalan yang dikemukakan oleh Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenai pemakaian dan implikasi Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750] ke atas Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144] serta perjanjian-perjanjian berkaitan.

Azalinya berkata, Petronas hanya akan membuat pembayaran wang tunai sebanyak lima peratus kepada kerajaan negeri Terengganu sekiranya petroleum didapati dan diperoleh di negeri itu.

Mengambil maklum jawapan Azalina  itu, Eikhwan selanjutnya berkata, “Saya rasa ada baiknya juga Azalina selaku Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi memperjelas pula sempadan sebenar wilayah Negeri Terengganu semasa ini berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu.” 

Post a Comment

0 Comments