Terengganu kaji mansuh larangan jual padi ke negeri lain


 KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mengkaji untuk menarik balik larangan penjualan padi ke negeri lain bagi mewujudkan persaingan lebih sihat dalam kalangan pekilang di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata kerajaan negeri juga sedar harga belian padi di negeri ini agak rendah jika dibandingkan dengan negeri lain.


"Kebanyakan kilang padi di negeri ini membeli padi pada harga lantai RM1,300 setiap metrik tan (mt). Kita dapati kilang padi di negeri lain menawarkan harga sehingga RM1,800mt," katanya.

Mac lalu, Dr Azman dilaporkan berkata, kerajaan negeri mengarahkan semua permit pemindahan padi keluar dari negeri ini dibekukan, antara mekanisme kawalan bagi mengelakkan hasil padi negeri dijual ke negeri lain.

Katanya, pemindahan padi tanpa permit boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dengan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) tidak akan membayar subsidi harga padi kepada petani yang menghantar hasil sawah mereka ke kilang di negeri lain.

"Kita negeri pertama yang mengawal hasil padi daripada dijual keluar dari negeri ini dan justifikasi kawalan itu adalah disebabkan ketidakcukupan padi dalam kalangan pengilang tempatan dan hasil padi dalam negeri," kata Dr Azman seperti dilaporkan.

Jumlah keluasan kawasan penanaman padi di seluruh Terengganu adalah 12,542 hektar dengan 5,323 hektar membabitkan kawasan dalam jelapang dan 7,221 hektar di luar kawasan luar jelapang, keseluruhannya mengeluarkan hasil padi tahunan sebanyak 63,760 tan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menetapkan harga lantai padi RM1,300mt tanpa penetapan harga siling.

"Selaras kenaikan pelbagai kos yang terpaksa ditanggung pesawah, mereka berhak untuk mendapatkan harga jualan lebih tinggi.

"Peraturan yang melarang penjualan padi Terengganu ke negeri lain memberikan status quo kepada pekilang padi di negeri ini untuk kekal dengan harga yang relatif rendah berbanding negeri lain.

"Kerajaan perlu memberikan ruang yang lebih baik kepada pesawah dan persaingan sihat perlu dibuka dalam kalangan pengusaha kilang padi untuk mereka menawarkan harga yang terbaik bagi menarik pesawah menjual padi kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Dr Azman ketika mengulas kehadiran seekor gajah yang merosakkam kebun penduduk di beberapa kawasan di Kampung Pok Aid, Hulu Besut, berkata haiwan itu sudah ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), kelmarin.

Katanya, gajah jantan dengan anggaran berat kira-kira dua tan berusia antara 10 hingga 12 tahun itu ditangkap dalam kebun sawit di Kampung Pok Aid, kira-kira jam 9 pagi Isnin lalu.

"Gajah itu ditangkap dalam operasi oleh sepasukan tujuh kakitangan PERHILITAN selepas menerima aduan penduduk. Dimaklumkan proses pemindahan gajah itu ke lokasi yang jauh dari manusia akan dilakukan dalam tempoh terdekat," katanya.

Post a Comment

0 Comments