Bajet Terengganu telus, tiada alasan sekat royalti


 KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas pengiktirafan Belanjawan Paling Telus menerusi Indeks Belanjawan Terbuka Malaysia (MyOBI) 2024.

Ketuanya, Mohd Harun Esa berkata, pengiktirafan daripada badan kajian bebas, Institute For Democracy And Economic Affairs (IDEAS) buat dua tahun berturut-turut (2022 dan 2024) merupakan bukti ketelusan pentadbiran Kerajaan Terengganu dalam menguruskan kewangan negeri ini.

Tambahnya, pengiktirafan itu juga sekali gus menolak tohmahan segelintir pihak yang mempertikaikan kredibiliti Dr Samsuri dalam mentadbir negeri.

Katanya, lebih malang lagi, terdapat juga sesetengah pihak yang percaya sekatan royalti kepada Terengganu wajar dilakukan kerana Dr Samsuri tidak tahu mengurus kewangan negeri.

“Bukti kajian IDEAS ini meruntuhkan segala fitnah tersebut. Alasan yang fatal ini telah dijadikan hujah dan alasan oleh pihak tak berakal dalam menyokong tindakan sekatan wang royalti kepada Terengganu,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesan sekatan itu menyebabkan banyak inisiatif-inisiatif kebajikan rakyat terpaksa ditangguhkan menyebabkan ramai yang terkesan dan kecewa.

Oleh itu, tegasnya Dewan Pemuda PAS negeri mengajak seluruh rakyat Terengganu untuk bersatu hati dan terus menuntut royalti agar dikembalikan serta diuruskan oleh kepimpinan kerajaan negeri yang telah terbukti paling telus.

Post a Comment

0 Comments