Tak adil bandingkan peruntukan pembangunan ikut tahun - Ahmad Samsuri


 Marang: Tidak adil membandingkan peruntukan pembangunan disalurkan kerajaan Persekutuan kepada Terengganu berdasarkan tahun.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia memandangkan perbelanjaan pembangunan yang diberikan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri turut membabitkan projek yang memakan masa panjang.

"Yang perlu dibezakan antara perbelanjaan pembangunan atau 'development expenditure' yang berlaku bukan sehari dua tapi makan masa daripada tahun sebelum-sebelum ini lagi.

"Ada yang perbelanjaan pembangunan oleh kerana projek-projek tertentu ini makan masa (ada) lima tahun ada yang bermula 2016 , 2017. Itu semua zaman sebelum (dua bekas Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jadi kalau kita nak kira daripada segi perbelanjaan pembangunan daripada yang lama-lama dan tumpu pada tahun-tahun macam tahun ini umpamanya saya rasa tidak begitu adil," katanya.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditanya mengenai peruntukan pembangunan di Terengganu yang meningkat kepada RM7.23 bilion pada tahun ini berbanding RM5.99 bilion pada 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, ia membabitkan projek negeri dan Persekutuan sekali gus menunjukkan dakwaan kerajaan Persekutuan menyekat peruntukan untuk Terengganu tidak benar.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri menghargai segala peruntukan yang disalurkan kerajaan Persekutuan untuk perbelanjaan pembangunan melalui Rancangan Malaysia, Rolling Plan dan inisiatif kementerian.

"Ini tidak kita nafikan (dan) kita ucapkan terima kasih banyak-banyak (namun) yang dipersoalkan oleh pentadbiran kerajaan dan juga rakyat negeri adalah berkenaan dengan perolehan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau yang kita panggil di negeri Terengganu sebagai royalti.

"Yang itu yang kita persoalkan, kena beza antara perbelanjaan pembangunan daripada Rolling Plan dan daripada Rancangan Malaysia dan dan aktiviti kementerian dengan pendapatan daripada hasil royalti atau DKKP atau Wang Ehsan," katanya.

Ahmad Samsuri berkata, ketika ini, kerajaan negeri diminta mengemukakan tuntutan berdasarkan program dan keperluan kewangan.

"Masih lagi diambil pendekatan yang sama iaitu 'claim' (tuntutan) berdasarkan permohonan yang kadang-kadang kita berbelas-belas permohonan, 10 permohonan (tapi) diluluskan enam, empat tak lulus.

"Empat itu kita akan rayu pula tambah lagi permohonan baru, itu yang kita sedang laksanakan daripada bulan ke bulan," katanya.

Post a Comment

0 Comments