Padam video TikTok MB Terengganu, tindakan abaikan prinsip kebebasan bersuara


 Kuala Terengganu: Sebanyak 14 video daripada akaun TikTok Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar didakwa dipadam sejak Januari lalu tanpa menerima sebarang notis.

Setiausaha Akhbarnya, Mohd Nasir Abd Razab berkata, kesemua video yang dimuat naik itu tidak mengandungi sebarang unsur berkaitan agama, bangsa dan raja (3R) yang boleh dianggap sensitif atau mengganggu keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Sebaliknya, beliau berkata, kandungan video berkenaan adalah bertujuan untuk menyampaikan mesej pembangunan dan perpaduan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Terengganu demi kesejahteraan rakyat.

Katanya, ia juga bertujuan menyampaikan mesej pembangunan dan perpaduan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri serta mengukuhkan ikatan dalam kalangan masyarakat.

"Video pertama yang dipadam daripada akaun media sosial Menteri Besar Terengganu ialah video temuramah bersama Aunty Amy Chua yang disedari tiada dalam platform TikTok sejak 20 Januari lalu.

"Selepas itu, satu demi satu video mula dipadamkan tanpa sebarang amaran atau notis. Video terkini dipadamkan ialah video yang dimuat naik menerusi platform X pada 12 Julai lalu mengenai perasmian Taman Solar Terbesar di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Nasir berkata, sebagai platform media sosial yang mempunyai tanggungjawab, TikTok perlu memastikan bahawa kandungan yang mematuhi garis panduan serta tidak melanggar sebarang peraturan diberikan peluang untuk terus dikongsi kepada masyarakat.

Katanya, pemadaman video-video itu bukan sahaja tidak berasas tetapi juga mencerminkan tindakan yang mengabaikan prinsip kebebasan bersuara yang diiktiraf.

"Saya menggesa pihak TikTok untuk meneliti semula keputusan pemadaman tersebut dan memastikan bahawa kandungan yang mematuhi garis panduan serta tidak melanggar sebarang peraturan diberikan peluang untuk terus dikongsi dengan masyarakat.

"Adalah penting bagi platform media sosial untuk berperanan secara adil dan saksama, serta menghormati kebebasan bersuara yang diiktiraf.

"Kita telah membuat laporan dalam pautan yang disediakan TikTok dan menghantar surat rasmi kepada TikTok Singapura pada 2 Julai lalu.

"Kita juga telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam bagi memohon penjelasan segera daripada platform berkenaan," katanya.

Post a Comment

0 Comments