'Apa dia sibuk-sibuk, ikut kitalah nak letak siapa calon, atas kitalah'


 MARANG: PAS enggan melayan cabaran UMNO untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil(PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos depan.

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, gabungan itu mempunyai formula dan kriteria dalam menentukan calon yang bertanggungjawab mempertahankan kerusi DUN berkenaan.

Beliau berkata, segala keputusan mengenai calon juga diserahkan kepada pimpinan yang ada di dalam Perikatan Nasional (PN).

"Apa dia sibuk-sibuk, ikut kitalah nak letak siapa calon, atas kitalah, kita nak letak orang mana, siapa, umur berapa, kerja apa.

"Itu atas kita berdasarkan kepada pertimbangan kita untuk memperoleh kemenangan (serta) mengekalkan kemenangan di DUN Nenggiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa ribut di Kampung Pantai Seberang Marang di sini hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Bendahari Agung PN berkata demikian ketika mengulas cabaran UMNO supaya PAS meletakkan calon sendiri dan tidak memberikan peluang kepada BERSATU pada PRK DUN Nenggiri.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dilaporkan berkata, jika BERSATU terus diberi laluan untuk bertanding pada PRK berkenaan, dibimbangi akan berlaku peralihan sokongan seperti sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, gabungan itu dijangka mengumumkan calon beberapa hari sebelum penamaan pada 3 Ogos depan.

Beliau berkata, setakat ini, PN tidak membuat keputusan untuk mengumumkan calon lebih awal seperti dilakukan UMNO.

Katanya, pihaknya yakin calon yang akan bertanding nanti dapat mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan.

"Jentera kita sudah turun ke DUN Nenggiri sebaik sahaja berlaku kekosongan itu dengan melakukan pelbagai aktiviti dan tinjauan, jadi hasil daripada dapatan-dapatan yang kita buat itu dan ditambah dengan momentum daripada (PRK) Sungai Bakap, Insya-Allah, kita boleh mengekalkan kemenangan," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.

PRK itu diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian BERSATU apabila menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Post a Comment

0 Comments