Terengganu cadang wujudkan pasukan profesional e-sukan


 KUALA TERENGGANU: Persatuan Sukan Elektronik Terengganu (ESMT) akan membentangkan satu cadangan penubuhan pasukan profesional dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, satu kertas cadangan yang komprehensif akan dikemukakan kepadanya bagi tujuan itu.

Ini susulan beliau menerima kunjungan daripada ESMT yang diketuai oleh presidennya, Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani, semalam. (Foto atas)

Menurutnya, dalam pertemuan itu, segala perancangan dan gerak kerja telah dikongsikan oleh pihak persatuan.

“Sebenarnya, ESMT banyak melahirkan atlet muda e-sukan di peringkat akar umbi dan berjaya mempertingkatkan potensi mereka menuju ke pentas profesional di peringkat antarabangsa dan negara,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, malam tadi.

Sebelum ini, jelasnya pihak kerajaan negeri melalui Urusetia Belia Sukan Dan NGO Sejahtera Terengganu (UBSNT) dan ESMT sering menganjurkan pelbagai aktiviti dan kejohanan di peringkat negeri.

Malah, katanya sewaktu Temasya Sukan Terengganu (SUTERA), Majlis Sukan Negeri Terengganu turut meletakkan acara E-Sport sebagai salah satu acara yang dipertandingkan.

Tambahnya, oleh kerana bakat-bakat anak negeri cukup diminati oleh pihak lain, ESMT akan membentangkan satu cadangan penubuhan pasukan profesional dalam tempoh terdekat.

“Insya-Allah, satu kertas cadangan yang komprehensif akan dikemukakan kepada saya bagi tujuan mewujudkan satu pasukan profesional e-sukan yang setanding dengan pasukan lain.

“Cadangan berkenaan akan diperhalusi sebaik mungkin demi Terengganu,” ujarnya yang juga ADUN Tepuh.

Post a Comment

0 Comments