'Terengganu Tuntut Royalti, Bukan Persoal Perbelanjaan Pembangunan'

MARANG, 21 Julai - Kerajaan Terengganu menegaskan bahawa pihaknya menuntut Kerajaan Persekutuan melunaskan pembayaran lima peratus daripada hasil minyak atau royalti petroleum, bukan mempersoalkan mengenai perbelanjaan pembangunan.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bayaran royalti petroleum dan perbelanjaan pembangunan adalah dua perkara yang sangat berbeza.

"Yang dipersoalkan oleh pentadbiran kerajaan dan juga rakyat negeri Terengganu adalah perolehan Dana Khas Kerajaan Persekutuan atau wang ehsan yang kita panggil sebagai royalti.

"Ia berbeza antara 'developement expenditure', 'rolling plan' daripada Rancangan Malaysia dengan pendapatan hasil royalti," ujarnya sambil berkata tidak adil mengaitkan perbelanjaan pembangunan dengan royalti minyak yang sememangnya menjadi hak rakyat Terengganu.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditanya mengenai peruntukan pembangunan di Terengganu yang meningkat kepada RM7.23 bilion pada tahun ini berbanding RM5.99 bilion pada 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, ia membabitkan projek negeri dan Persekutuan sekali gus menunjukkan dakwaan kerajaan Persekutuan menyekat peruntukan untuk Terengganu tidak benar.

Mengulas mengenai dakwaan perbelanjaan pembangunan untuk Terengganu meningkat di bawah Anwar Ibrahim berbanding ketika pemerintahan terdahulu, Ahmad Samsuri berkata perkara itu sangat mengelirukan.

"Perbelanjaan pembangunan yang berlaku bukan sehari dua tetapi mengambil masa daripada tahun sebelum-sebelum ini lagi, ada 'developement expenditure' melibatkan projek-projek tertentu yang ambil masa bertahun-tahun atau lima tahun.

"Ada projek zaman atau sebelum zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin lagi dan juga Dato' Seri Ismail Sabri, sebelum daripada PM10 lagi, jadi kalau kita hendak banding perbelanjaan pembangunan begiitu tidak adillah, tetapi kita hargai apa jua jumlah peruntukan yang diberikan," jelasnya.

 

Post a Comment

0 Comments