Terengganu alu-alukan pelabur bangun sektor pertanian


 KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan para pelabur asing yang berminat dan bersedia untuk melabur ke Terengganu bagi melihat dan membangunkan sektor pertanian yang berpotensi di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata pihaknya turut berusaha membawa pelaburan luar untuk masuk ke Terengganu.

“Sebenarnya banyak hasil khususnya kutipan pelbagai cukai dapat kepada Kerajaan Persekutuan.

“Kita di negeri dapatlah beberapa manfaat seperti bayaran pajakan tanah, cukai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan peluang kerja,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, berkata apabila sesuatu produk itu dieksport, maka negeri-negeri yang mempunyai pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa akan mendapat manfaat.

“Sebagai contoh, di Terengganu tidak mempunyai pelabuhan atau lapangan antarabangsa untuk mengeksport hasil pertanian walaupun terdapat hasil pertanian Terengganu untuk dieksport.

“Maka hasil pertanian Terengganu akan melalui ‘exit point’ di negeri lain untuk ke peringkat antarabangsa.

“Selain itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Pulau Pinang berada pada kedudukan yang tinggi oleh kerana sebahagiannya disumbangkan kepada eksport produk dari Kedah yang menggunakan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai ‘exit point’,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, sebanyak RM2.4 bilion nilai pelaburan yang berpotensi sedang dibawa masuk ke Terengganu setakat April lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sedang berusaha keras bagi memastikan pelaburan tersebut dapat direalisasikan.

Post a Comment

0 Comments