'Kami dah dapat rentak untuk pilihan raya akan datang'


 KUALA TERENGGANU: Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata model gerak kerja kempen berbeza berbanding pilihan raya terdahulu antara faktor kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Menteri Besar Terengganu itu berkata gerak kerja jentera pilihan raya dan kerjasama tersusun petugas parti pelbagai latar belakang membabitkan PAS, BERSATU dan GERAKAN selain sokongan pengundi bukan Islam membolehkan PN mengekalkan kerusi Sungai Bakap.

"Kita akan mengguna pakai model kempen ini pada pilihan raya lain termasuk PRK DUN (Dewan Undangan Negeri) Nenggiri.

"Saya rasa kami sudah mendapat rentak yang baik untuk hadapi pilihan raya akan datang," katanya.

Ahmad Samsuri mendakwa kemenangan calon PN jelas menunjukkan rakyat bijak menilai dan menolak kepemimpinan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, walaupun peratusan keluar mengundi kecil berbanding pilihan raya sebelum ini tetapi majoriti yang diperoleh calon PN lebih besar.

"Ada beberapa faktor kemenangan PN terutama berkait dengan testimoni rakyat yang menyatakan pendirian membantah pelbagai isu yang berlaku dalam negara.

"Isu air, subsidi diesel dan yang paling utama terangkum di dalam semua itu adalah kos sara hidup yang semakin menekan rakyat terutama.

"Itu punca utama dan isyarat awal pengundi menolak kepemimpinan Kerajaan Perpaduan," katanya pada pemberita pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H/2024M Peringkat Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Ditanya persiapan PRK DUN Nenggiri, beliau berkata, ia masih belum dibincangkan kerana memberi tumpuan kepada PRK Sungai Bakap.

Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail memenangi kerusi Sungai Bakap dengan majoriti undi sebanyak 4,267.

Abidin memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya daripada PH, Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.

PRK kawasan itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Post a Comment

0 Comments