KEMAMAN, 22 Julai - Derita hilang tempat berteduh yang dihadapi 18 keluarga di Kampung Habib Mohsin di daerah ini berakhir selepas Kerajaan Terengganu berjaya mencari jalan penyelesaian.
Pengerusi Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri akan memulakan pembinaan 18 unit Rumah Asnaf di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Katanya, 18 unit kediaman di Paya Berenjut itu sudah dimulai dengan kerja prelimenarius.
"Termasuk kerja-kerja pembersihan tapak dan 'earth filling' sudah selesai dan minggu ini dijangka akan dipasang 'holding' dan 'cabin' serta akan dinaikkan papan tanda serta kerja-kerja berkaitan," ujarnya.
Beliau berkata demikian melalui suatu kenyataan di facebooknya, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut katanya, khabar gembira itu diharapkan akan menamatkan segala kesukaran yang dihadapi mereka sebelum ini.
"Berita baik buat mangsa perpindahan penduduk Habib Mohsin, Kuala Kemaman, deritamu mengalir di denyut nadiku.Bersabarlah, keselesaanmu adalah keutamaanku," tulisnya di platform facebook itu.
Berkongsi mengenai status terkini berkenaan projek terbabit katanya ia telah mula memasuki tapak pada 18 Julai.
"Kontraktor mula membersihkan tapak pada 16 Julai dan kemudian buat 'site survey (pegging) pada 18 Julai," katanya lagi.
Dalam pada itu ujarnya, masalah yang dialami penduduk di Habib Mohsin itu merupakan perkara lama yang membina kediaman sementara dengan menumpang tanah yang kini dituntut oleh pewaris.
Bagi menyelesaikan masalah dihadapi penduduk, Hanafiah berusaha sedaya upaya bagi memastikan penduduk terbabit mendapat kediaman yang selesa, hasil pertemuan dengan pihak MAIDAM telah memberikan kelegaan.
0 Comments