Nelayan darat perolehi hasil RM3.4 juta tahun lalu


 KUALA TERENGGANU: Nelayan darat di negeri ini memperoleh pendapatan kira-kira RM3.4 juta tahun lalu dengan hasil lebih 192 tan pelbagai spesies ikan dan udang galah.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat, berkata agensi itu melepaskan sebanyak 374,215 pelbagai spesies benih ikan dan udang galah di 11 sungai di Terengganu tahun lalu.

Katanya, kerajaan membelanjakan kira-kira RM148 juta untuk mendapatkan benih ikan termasuk spesies ikan kelah, baung, lampam sungai, sebarau, siakap dan udang galah.

"Jabatan Perikanan dan kerajaan negeri akan terus melaksanakan program pelepasan benih ikan di perairan di Terengganu tahun ini.

"Program pelepasan benih ikan ini mampu memberi manfaat kepada 183 nelayan darat yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan, penduduk setempat dan pengusaha eko pelancongan," katanya di sini hari ini.

Ruzaidi mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim merasmikan program pelepasan benih ikan di Sungai Nerus di Kampung Jeram Hilir, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ruzaidi berkata, sebanyak RM135,000 termasuk RM85,000 daripada kerajaan negeri diperuntuk bagi melaksanakan program pelepasan benih ikan pada tahun ini.

Post a Comment

0 Comments