TDM, JAKS Solar Power bangun ladang solar RM800 juta di Terengganu


 KUALA TERENGGANU: TDM-YT Plantation Sdn Bhd menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan JAKS Solar Power Holdings Sdn Bhd untuk membangunkan ladang solar berskala besar di Lembah Bidong, Setiu.

TDM-YT Plantation merupakan cabang perladangan TDM Bhd, syarikat milik kerajaan negeri Terengganu.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TDM-YT Plantation, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, berkata pembangunan ladang solar seluas 700 hektar berkapasiti 200 megawatt (MW) itu membabitkan pelaburan bernilai RM800 juta.

"Kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil serta menggalakkan penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, TDM-YT Plantation dijangka memeterai perjanjian pajakan bersama Konsortium JAKS, gabungan kerjasama antara JAKS Solar Power Holdings dan China Power Engineering Conaulting Group International Engineering Co. Ltd, yang bakal menawarkan potensi keuntungan sebanyak RM1 juta setahun kepada syarikat tersebut.

"Kami berharap kerjasama antara kedua-dua pihak ini akan membawa kejayaan besar serta impak positif kepada peningkatan sosio ekonomi negeri Terengganu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif JAKS Resources Bhd, Datuk Razali Merican Naina Merican, berkata kerjasama itu perlu bagi memudahkan tawaran bidaan JAKS Solar Power Holdings sebagai pemajak yang akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Tenaga.

Beliau berkata, Konsortium JAKS berpotensi meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu di Terengganu, sekali gus memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat setempat.

Post a Comment

0 Comments