14 video TikTok MB T’ganu dipadam, tindakan tidak berasas


 KUALA TERENGGANU: Pemadaman 14 video TikTok milik Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar adalah tindakan tidak berasas dan mengabaikan prinsip kebebasan bersuara.

Setiausaha Akhbarnya, Mohd Nasir Abd Razab berkata, video yang dimuat naik itu tidak mengandungi sebarang unsur 3R (agama, bangsa dan institusi raja) yang boleh dianggap sensitif atau mengganggu keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Beliau juga meluahkan rasa kesal terhadap tindakan platform yang dipantau di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu.

Menurut beliau, kandungan video berkenaan bertujuan untuk menyampaikan mesej pembangunan dan perpaduan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Negeri Terengganu demi kesejahteraan rakyat.

“Sebagai platform media sosial yang mempunyai tanggungjawab sosial, adalah penting bagi TikTok untuk memastikan bahawa kandungan yang mematuhi garis panduan serta tidak melanggar sebarang peraturan diberikan peluang untuk terus dikongsi dengan masyarakat.

“Pemadaman video-video ini bukan sahaja tidak berasas tetapi juga mencerminkan tindakan yang mengabaikan prinsip kebebasan bersuara yang diiktiraf,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Baru-baru ini, video yang dibuang langsung daripada TikTok Menteri Besar Terengganu itu antaranya ialah ucapan kepada pemain bola sepak Terengganu yang mendapat 1.3 juta penonton, video ‘Aunty Amy Chua’ daripada Ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) pula meraih 5.5 juta tontonan.

Sementara perbahasan Ahmad Samsuri di parlimen telah meraih 700,000 tontonan; acara perasmian Pecah Tanah Hotel di Strawberry Park pula 900,000 tontonan dan kunjungan hormat Duta Qatar sebanyak 300,000 tontonan.

Kata beliau, video yang dipadam itu juga mencerminkan usaha gigih Menteri Besar dalam membangunkan negeri dan memperkukuhkan ikatan di kalangan masyarakat.

“Saya menggesa pihak TikTok untuk meneliti semula keputusan pemadaman tersebut dan memastikan bahawa kandungan yang mematuhi garis panduan serta tidak melanggar sebarang peraturan diberikan peluang untuk terus dikongsi dengan masyarakat,” katanya.

Tegas beliau, ia penting bagi platform media sosial untuk berperanan secara adil dan saksama, serta menghormati kebebasan bersuara yang diiktiraf.

“Saya berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan berharap perkara sebegini tidak akan berulang lagi. Kerjasama daripada semua pihak berautoriti amatlah dihargai,” katanya.

Kronologi pemadaman kandungan TikTok Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mula disedari pemadaman video pertama iaitu Video Aunty Amy Chua tiada dalam platform TikTok pada 20 Januari 2024.

Selepas itu, satu demi satu video mula dipadamkan tanpa sebarang amaran dan notis hingga yang terkini video yang diupload pada 12 Julai di Twitter (X) mengenai Perasmian Taman Solar Terbesar di Malaysia juga dipadamkan tanpa sebarang notis.

Latar belakang kandungan video Tiktok MB yang dipadamkan:

  1. Video Aunty Amy Chua Bahagian 2
    Temuramah dengan Aunty Amy Chua, seorang peniaga di Bandar Kuala Terengganu mengenai kehidupan kaum Cina di Terengganu. Aunty Amy menafikan kuil dirobohkan dan tiada paksaan untuk masuk ke agama Islam. Aunty Amy Chua mempromosikan perpaduan di Negeri Terengganu
    Tarikh Upload: Ogos 2023
    Views di Tiktok: 5.9 juta
  2. Majlis Pecah Tanah Pembinaan Hotel di Strawberry Park
    Video ini adalah ucapan perasmian oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai Majlis Pecah Tanah untuk membangunkan sebuah hotel baru di Strawberry Park, Kijal.
    Tarikh Upload: Ogos 2024
    Views di TikTok: Lebih 900,000
    Views di Instagram: 76,000
  3. Ucapan untuk Penggal Kedua
    Video ini adalah penegasan YAB MB Terengganu dalam memasuki penggal kedua pentadbiran, beliau akan bertindak lebih tegas dan laju dalam pentadbiran negeri.
    Tarikh Upload: 19 September 2023
    Views di Tiktok: Lebih 500,000
    Views di Instagram: 87,700
  4. Robotik SM Sains Hulu Terengganu
    Video ketika kunjungan hormat Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) yang menerangkan tentang gajet yang akan dipertandingkan di peringkat dunia. YAB memberi perhatian dan beberapa nasihat teknikal.
    Tarikh Upload: 26 September 2023
    Views di Tiktok: lebih 600,000
    Views di Instagram: 229,000
  5. Perarakan Bot Berhias
    Video yang memaparkan suasana Perarakan Bot Berhias Sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu yang diadakan di Duyong Marina Resort
    Tarikh Upload: 30 September 2023
    Views di TikTok: lebih 300,000
    Views di Instagram: 99,000
  6. Persembahan TATU
    Video suasana semasa persembahan TATU oleh Angkatan Tentera Malaysia yang diadakan di Stadium Sultan Nasiruddin Shah pada tahun 2023 sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu yang turut sama dihadiri oleh kira-kira 10 ribu rakyat Terengganu.
    Tarikh Upload: 7 Oktober 2023
    Views di TikTok: lebih 300,000
    Views di Instagram: 126,000
  7. Pengumuman Calon PRK Kemaman
    Video malam pengumuman calon PRK Kemaman pada tahun 2023. Di dalam video ini, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan bahawa Dr.Sam ialah Calon dari PAS yang akan bertanding dalam PRK Kemaman
    Tarikh Upload: 16 November 2023
    Views di TikTok: lebih 800,000
    Views di Instagram: 178,000
  8. Ucapan Motivasi untuk TFC
    Video ini adalah ucapan motivasi daripada YAB Menteri Besar Terengganu kepada Pasukan TFC semasa mereka akan berangkat ke Final Bola menentang JDT.
    Dalam ucapan tersebut, beliau menyampaikan beberapa mesej penting dan capan tersebut disampaikan dengan nada yang serius dan formal, menunjukkan betapa pentingnya mesej yang disampaikan.
    Tarikh Upload: 23 November 2023
    Views di TikTok: lebih 1 juta
    Views di Instagram: 167,000
  9. Kunjungan Hormat Duta Qatar
    Video yang menunjukkan suasana jalinan kerjasama dan kemesraan ketika Dr.Sam dikunjungi oleh Duta Qatar pada tahun 2023
    Tarikh Upload: 23 November 2023
    Views di TikTok: lebih 300,000
    Views di Instagram: 167,000
  10. Majlis Angkat Sumpah Ahli Parlimen
    Video ringkas suasana ketika Dr.Sam mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Kemaman di Bangunan Parlimen selepas memenangi PRK Kemaman
    Tarikh Upload: 10 Disember 2023
    Views di TikTok: lebih 500,000
    Views di Instagram: 313,000
  11. Ucapan Pertama Selepas Kemenangan di PRK Kemaman
    Video ucaptama Dr.Sam selepas memenangi kerusi PRK Kemaman pada tahun 2023 di hadapan ribuan penyokong
    Tarikh Upload: 12 Disember 2023
    Views di TikTok: tak pasti
    Views di Instagram: 324,000
  12. Sidang Media Pasar Payang
    Video sidang media bersama Nga Kor Min selepas Majlis Penyerahan Pasar Payang Baru. Di dalam video ini Dr.Sam menunjukkan budaya politik matang dan sejahtera yang mana Dr.Sam meneruskan projek lama dan berterima kasih kepada kerajaan terdahulu yang memulakan inisiatif projek ini.
    Tarikh Upload: 19 Mac 2024
    Views di Tiktok: lebih 250,000
    Views di Instagram: 196,000
  13. Podcast Keluar Sekejap: Sekatan Royalti
    Video ini ketika Dr. Sam dijemput menjadi tetamu podcast Keluar Sekejap (KS) dan Dr. Sam menjelaskan tentang status pembayaran royalti Terengganu apabila ditanya oleh pengacara KS.
    Tarikh Upload: 19 Mac 2024
    Views di TikTok: Tak sempat lihat
    Views di Instagram: 196,000
  14. Ucapan Parlimen: Diskriminasi Politik
    Video Dr. Sam berbahas di dalam Parlimen berkenaan politik diskriminasi yang mana tidak akan menguntungkan mana-mana pihak dan budaya ini harus ditinggalkan agar Malaysia dapat bergerak dengan lebih baik.
    Tarikh Upload: 19 Mac 2024
    Views di Tiktok: lebih 700,000 views di Instagram: 196,000

Tindakan:

  1. Telah membuat laporan dalam pautan yang disediakan di TikTok
  2. Menghantar surat rasmi kepada Tiktok Singapura pada 2 Julai 2024
  3. Telah menghantar surat kepada MCMC Malaysia pada 18 Julai 2024 bagi memohon tindakan menggesa penjelasan daripada platform berkenaan.

Post a Comment

0 Comments