MARANG: Seluruh jentera Perikatan Nasional (PN) yang diatur gerak sedang bekerja keras untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai depan.
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata jentera parti perlu mengekalkan momentum dan bekerja hingga ke saat akhir untuk membantu calon PN mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu juga akan Sungai Bakap Jumaat ini untuk membantu kempen.
"Insya-Allah kita sedang berusaha dan nampak dari segi 'mood' rakyat bersama dengan Perikatan Nasional, Insya-Allah, kita tunggulah hingga saat akhir.
"(Ketika ini) jentera 'all out' dan semua negeri-negeri telah diatur supaya bertugas hingga hari terakhir," katanya ditemui selepas melancarkan Temasya Sukan DAR Terengganu di Pantai Kelulut hari ini.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu. Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal pada PRN lalu menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Pada PRK Sungai Bakap ini, PH mempertaruhkan Dr Joohari Ariffin yang juga bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara manakala PN diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi.
0 Comments