46 menara telekomunikasi baharu dibina di Terengganu


 KUALA TERENGGANU: Sebanyak 46 menara telekomunikasi baharu dibina melalui inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa 1 bagi memperluaskan liputan internet di Terengganu.

Menara telekomunikasi tersebut dibina Theta Telecoms Sdn. Bhd., anak syarikat Theta Edge Bhd. pada 2022 dan siap tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta, Datuk Nuraslina Zainal Abidin berkata, pihak syarikat memahami kepentingan projek tersebut dan teruja dapat menyiapkan pembinaan menara baharu itu mengikut jadual yang ditetapkan

Menurutnya, usaha dan komitmen syarikat sepanjang proses pembinaan menara baharu itu diharap dapat membantu operator rangkaian mudah alih memperluaskan lagi liputan 4G di kawasan luar bandar untuk manfaat rakyat.

“Sebagai syarikat yang membangun, kami berbesar hati kerana dapat merealisasikan agenda kerajaan dalam memperluaskan kesalinghubungan digital untuk rakyat di negeri ini.

“Kami berbangga dapat menjadi rakan strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi inisiatif ini dan berpeluang menawarkan kepakaran dalam menyediakan kemudahan infrastruktur tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemuktamadan Pembinaan 46 Menara Telekomunikasi Baharu Pelan Jendela Fasa 1 Menara Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini hari ini.

Nuraslina memberitahu, syarikat berbangga dapat membina menara telekomunikasi setinggi 60 meter itu dalam tempoh tiga bulan.

“Antara pembinaan menara baharu yang unik ialah di Pulau Tenggol, Dungun kerana ia mengambil masa selama 150 jam dan meliputi jarak sejauh 83.3 kilometer dari jeti di Kuala Terengganu,” ujarnya.

Tambahnya, penyediaan perkhidmatan akses jalur lebar yang kondusif adalah keutamaan syarikat dalam menuju ke arah era pendigitalan khususnya di negeri Terengganu. 

Post a Comment

0 Comments