Video TikTok Menteri Besar Terengganu dipadam tanpa notis


 KUALA TERENGGANU: Sebanyak 14 video daripada akaun TikTok Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dikatakan dipadam sejak Januari lalu, tanpa menerima sebarang notis.

Setiausaha Akhbarnya, Mohd Nasir Abd Razab, berkata semua video yang dimuat naik itu tidak mengandungi sebarang unsur berkaitan agama, bangsa dan raja (3R) yang boleh dianggap sensitif atau mengganggu keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Sebaliknya, beliau berkata, kandungan video berkenaan bertujuan menyampaikan mesej pembangunan dan perpaduan yang dilaksanakan oleh kerajaan Terengganu demi kesejahteraan rakyat.

"Video pertama yang dipadam ialah video temu ramah bersama Aunty Amy Chua yang disedari tiada dalam platform TikTok sejak 20 Januari lalu.

"Selepas itu, satu demi satu video mula dipadamkan tanpa sebarang amaran atau notis. Video terkini dipadamkan ialah video yang dimuat-naik menerusi platform X pada 12 Julai lalu mengenai perasmian Taman Solar Terbesar di Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Nasir berkata, sebagai platform media sosial yang mempunyai tanggungjawab, TikTok perlu memastikan kandungan yang mematuhi garis panduan serta tidak melanggar sebarang peraturan diberikan peluang untuk terus dikongsi kepada masyarakat.

Katanya, pemadaman video itu bukan sahaja tidak berasas tetapi juga mencerminkan tindakan yang mengabaikan prinsip kebebasan bersuara.

"Kita sudah membuat laporan dalam pautan yang disediakan TikTok dan menghantar surat rasmi kepada TikTok Singapura pada 2 Julai lalu.

"Kita juga telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam bagi memohon penjelasan segera daripada platform berkenaan," katanya.

Post a Comment

0 Comments